PERTAMA sekali, siapa Mek Yun? Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee seorang pempengaruh media sosial yang mungkin sudah dikenali umum, malah dia juga kerap diundang menghiasi program televisyen, berlakon bercakap dalam radio, audio siar, majalah surat khabar dan macam-macam lagi. Pendek kata, Mek Yun sudah jadi selebriti.
Di Pantai Timur, panggilan ‘mek’ digunakan untuk anak perempuan kesayangan yang paling comel, manja dan indah pekerti. Dulu-dulu, istilah ‘mek’ digunakan sebagai panggilan untuk ibu. Zaman berubah, ibu-ibu di Kelantan, Terengganu khususnya yang masih bertutur loghat serupa sudah moden, ‘mek’ sudah bertukar menjadi mama, mommy, ibu atau umi.
Panggilan ‘mek’ untuk anak perempuan tidak lagi dipraktikkan dalam keluarga, cuma dalam kalangan masyarakat setempat, tambahan ‘mek’ saja-saja diletakkan sama ada sejak zaman kanak-kanak atau untuk kelainan. ‘Mek’ secara tersirat memberi naratif watak seseorang wanita itu tanpa perlu dijelaskan.
Apabila ada tambahan ‘mek’, lebih sedap disebut, orangnya pasti comel. Nama Suhaila contohnya dipanggil Mek La, Suhaili jadi Mek Li. Orang Cina di Kelantan juga tidak terkecuali.
Seingat penulis, di Jerteh, Terengganu terdapat seorang peniaga Cina dipanggil Mek Comel. Satu Jerteh panggil dia Mek Comel, mungkin dia benar-benar lawa sejak zaman mudanya sehinggakan panggilan itu melekat sampai tua.
Namun, secara peribadi, penulis tidak selesa dipanggil dengan adanya awalan ‘mek’, alasannya peribadi, abaikan.
Begitulah Mek Yun, orangnya cantik, pekertinya baik, malah sehingga kini sudah meningkatkan reputasinya daripada sekadar pencipta kandungan kreatif menjadi pempengaruh dan yang bijak serta menginspirasikan. Wee Yun Nee kini sedang mengangkat imej ‘mek-mek’ di Kelantan – Terengganu, malah yang sudah banyak dicemari imej tak menggambarkan zat asal panggilan ‘mek’ itu sendiri.
Jadi ada apa dengan ‘mek’ dan Mek Yun? Isu haiwan sembelihan raya haji selesai, sekarang kita nampak kelantangan Mek Yun memperkatakan kes pendedahan kumpulan Facebook yang dikaitkan dengan pedofilia.
Dia mengecam kenyataan seorang individu yang menyalahkan pelajar bawah umur dalam isu gangguan seksual berkaitan kumpulan Facebook yang dikaitkan dengan pedofilia.
Mek Yun menzahirkan rasa jijik terhadap kandungan berunsur tidak bermoral melibatkan pelajar bawah umur. Ahli grup itu pula dikatakan kebanyakannya lelaki dewasa, termasuk warga emas yang secara terbuka meninggalkan komen berbaur lucah dan tidak senonoh.
Dia minta semua orang ‘report’ agar grup itu lenyap, mohon pihak berkuasa dan menteri berkaitan tindakan agar tiada lagi kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan manusia pedofilia dan sekarang grup keji itu sudah terbenam. Lenyap! Saya tidak kata semua itu sebab Mek Yun, namun impaknya ada, tak kira kecil atau besar.
Itulah tindakan sepatutnya seseorang pempengaruh atau artis yang ada tanggungjawab terhadap masyarakat, bukannya mempersoalkan penyembelihan haiwan ternakan kesayangan pada Hari Raya Korban. Dalam masa sama, selain Neelofa yang memang berdarah Kelantan, Mek Yun kini ‘mek kelate’ idola ramai walaupun dia bukan Melayu Islam. Fikir-fikirkan.















