Tanggal 13 Mei lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan menyayat hati yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Berita pilu itu membuatkan seluruh rakyat berdukacita dan apatah lagi ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sedih dan memeritkan antara situasi yang terpaksa dihadapi isteri, anak-anak dan ibu bapa atas kehilangan insan tersayang mereka.
Pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam nahas itu sudahpun diheret ke mahkamah dan diikat jamin sebanyak RM6,000, baru-baru ini.
Namun persoalannya, adakah pengusaha syarikat terbabit terlepas dari sebarang tindakan?
Peguam Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, Akta Pengangkutan Jalan 1987 secara khususnya perlu dipinda semula bagi membolehkan pengusaha syarikat kenderaan berat yang terlibat dengan kemalangan maut diheret ke mahkamah.
Menurutnya, kerajaan disarankan menambah atau meminda Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melibatkan kesalahan memandu secara bahaya sehingga melibatkan kemalangan maut.
“Ini berkenaan dengan kesalahan liabiliti tegas kepada pemilik syarikat bagi kenderaan-kenderaan berat atau kenderaan lori.
“Dalam erti kata lain, pemandu adalah satu perkara, yang kedua adalah di bawah tanggungjawab pemilik syarikat tersebut untuk memastikan kenderaan itu berada dalam keadaan pengoperasian yang baik dan selamat di jalan raya.
“Sebagai contoh, bila kita melihat kepada sudut undang-undang sivil, undang-undang lazim yang dipanggil tot kecuaian ini adalah untuk meletakan liabiliti kepada elemen-elemen tot kecuaian ke atas pemilik syarikat,” katanya di sini.
Jelasnya, yang pertama adalah tanggungjawab berjaga-jaga kepada pemilik syarikat terhadap lori seliannya.
“Kedua, bila mana tanggungjawab berjaga-jaga itu telah dilanggar, iaitu apabila pemilik syarikat gagal membuat semakan berkala iaitu penyelenggaran setiap 3 bulan sekali termasuk tayar, stereng dan enjin.
“Maka, kegagalan semua ini menunjukkan bahawa sudah berlaku pelanggaran terhadap tanggungjawab berjaga-jaga dan telah berlakunya kerosakan melibatkan nyawa dan kematian. Oleh itu, ia sudah memenuhi tot kecuaian dalam sivil,” ujarnya.
Jelasnya, kerajaan juga seharusnya meletakkan satu kesalahan spesifik bagi pemilik syarikat kenderaan berat termasuk lori, bas dan treler.
“Ini bermakna, pemilik syarikat bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian kemalangan maut di samping pemandunya juga jika didapati bersalah dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, antara perkara lain yang boleh dititikberatkan pihak berwajib adalah dengan membuat satu peraturan-peraturan kecil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebagai contoh, mengawal selia penyelenggaraan kenderaan berat setiap tiga bulan sekali ini dan perlu ada senarai semak bagi pemeriksaan tayar, stereng dan brek. Jika gagal denda hingga 100,000.
“Antara lain adalah perlu laksanakan penguatkuasaan yang ketat kepada pemilik atau pengusaha syarikat kenderaan berat.
“Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa bagi menguruskan hal-hal berkaitan pemeriksaan dan pemantauan kenderaan lori khususnya sebagai langkah mengelak daripada menjadi punca berlaku kemalangan maut,” tambahnya.














