BACHOK – Seorang pemilik spa yang juga mangsa serangan asid dalam kejadian minggu lalu mendakwa tidak mengenali dua suspek termasuk seorang wanita yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.
Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, isterinya, Nor Faziera Muda, 27, berkata, sehingga kini wanita itu masih tertanya-tanya kenapa dia yang menjadi sasaran kepada serangan tersebut.
Menurut lelaki itu, pihak polis sudah datang ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk mengambil keterangan daripada isterinya, namun mangsa kurang bercakap kerana masih letih.
“Buat masa ini, isteri tidak mengenali dua suspek termasuk seorang wanita yang bekerja di kilang getah.
“Kami hanya berharap polis segera mencari suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu. Saya harap ada lagi suspek yang ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, isterinya masih dalam keadaan keletihan selepas menjalani pembedahan kali ketiga untuk membersihkan sisa cecair asid tersebut di belakang badannya di HPUSM beberapa hari lalu.
Bagaimanapun katanya, Nor Faziera berada dalam keadaan stabil dan bersiap sedia untuk pembedahan kali keempat.
“Isteri lebih banyak berehat dan tidak banyak bercakap selain masih bersedih dengan kejadian yang menimpanya.
“Isteri juga sangat letih selepas pembedahan kali ketiga. Dia perlu bersedia mental dan fizikal untuk menjalani pembedahan kali keempat esok (hari ini).
“Berdasarkan maklumat doktor, isteri saya perlu menerima rawatan dalam tempoh yang lama bagi membolehkan dia betul-betul pulih,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pemilik sebuah spa dan salun kecantikan parah pada bahagian lengan dan belakang badannya selepas disimbah cecair yang dipercayai asid semasa berada di tingkat atas premisnya di Beris Kubor Besar, Sabtu lalu.
Kejadian pukul 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa berada di dalam kedainya bersama anak sulung berusia tujuh tahun.
Susulan itu, polis telah menahan dua individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Suspek pertama ialah seorang wanita berusia 38 yang juga pekerja kilang getah, manakala suspek kedua pula merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun yang ditahan di Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti motif serangan tersebut, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada cemburu, dendam atau berkaitan hutang.
Kosmo! pada 19 Mei lalu melaporkan empat suspek memakai purdah menyimbah asid ke arah pemilik spa dan salun kecantikan yang dipercayai dirancang rapi.














