AMPANG – Seorang lelaki yang merosakkan Sullam (tempat sembahyang Hindu) di sebuah kuil Hindu di Kampung Tasek Ampang, dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dua senjata.
Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman terhadap penganggur Sufpriyanndi Masyhuri, 34, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memiliki dua bilah parang dan sebilah keris berhulu kayu tanpa kebenaran sah di sebuah kuil Hindu di Kampung Tasek Ampang di sini pukul 6 pagi pada 19 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dihadapan Majistret Normaizan Rahim, Sufpriyanndi dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku merosakkan kuil itu dengan mengetahui mana-mana orang beragama Hindu mungkin mensifatkan sebagai suatu keaiban kepada agama mereka di tempat, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara dihadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, Sufpriyanndi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut mahu memotong kepala seorang lelaki yang juga setiausaha kuil pada tarikh, masa dan tempat serupa yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman berjalan secara serentak dari tarikh tertuduh tangkap pada 19 Mei lepas.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan selepas merosakkan rumah ibadat agama Hindu di Ampang susulan aduan dibuat oleh seorang setiausaha kuil. – KOSMO! ONLINE