fbpx
AHMAD FARHAN (depan, tengah) bergambar kenangan dengan wakil media pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 di Serdang, Selangor baru-baru ini. – IQBAL ROSLI

K2

UPM hargai sumbangan media tingkatkan ‘visibility’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEDIA memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat terkini tentang sesuatu berita, isu semasa dan sebagainya kepada masyarakat.

Untuk menyampaikan informasi tersebut kepada masyarakat, media perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membolehkan berita yang disiarkan itu benar-benar tepat.

Universiti merupakan salah satu institusi yang penting kepada pihak media bagi mendapatkan bahan-bahan berkualiti sama ada dalam bentuk berita atau rencana.

Bagi menghargai jasa dan bakti pihak media, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 di Kampus UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut juga, warga UPM turut diraikan atas sumbangan kepakaran mereka sama ada dalam bentuk perkongsian penulisan, pendapat dan penyelidikan bersama pihak media.

Wakil media dan warga UPM yang diraikan pada majlis tersebut telah menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024 daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, pihak media dan warga UPM memainkan peranan penting dalam meningkatkan visibility (kebolehlihatan) universiti tersebut sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, majlis tersebut merupakan salah satu acara tahunan untuk menghargai rakan-rakan media dan warga UPM yang memainkan peranan mereka dengan baik.

“Sepanjang tahun lalu, kita melihat satu peningkatan dari segi visibility untuk UPM.

PENULIS (kiri) mewakili pihak Kosmo! menerima sijil penghargaan daripada Ahmad Farhan.

“Warga UPM telah menyumbang kepakaran melalui penulisan untuk pihak media dan ini telah membantu peningkatan kebolehlihatan universiti,” katanya.

Tambahnya, anugerah tersebut merupakan salah satu bentuk perangsang kepada warga UPM supaya mereka terus menulis kandungan berkualiti kepada pihak media.

Dalam majlis tersebut juga, pihak Kosmo! turut diberi sijil penghargaan atas sumbangan meningkatkan visibility UPM sepanjang tahun lalu. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarang Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan.

Mengulas mengenai sumbangan UPM kepada masyarakat, Dr. Ahmad Farhan memaklumkan, pihaknya ingin menggunakan kepakaran dimiliki untuk membantu dalam pembangunan negara.

Terangnya, media boleh menjadi penghubung kepada pihaknya berbuat demikian, di mana pakar-pakar daripada pelbagai bidang di UPM boleh menyumbangkan pendapat atau idea mereka kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, penerima Anugerah Utama Visibiliti Media 2024, Prof. Madya Dr. Christopher Teh Boon Sung berkata, media memerlukan sumber maklumat yang sahih terutama dalam isu-isu kritikal seperti keselamatan makanan, perubahan iklim dan inovasi pertanian.

“Melalui penulisan, saya bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran awam, malah mempengaruhi dasar dan amalan industri. Saya juga ingin memastikan pengetahuan saintifik sampai kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN