'Survivor' polio yang merupakan pensyarah ekonomi UIAM Prof. Dr. Ruzita menerima Anugerah Wanita MyWira tahun lalu. Kerana polio, wanita ini lumpuh sejak usia satu tahun dan menemupuhi pelbagai cabaran untuk menuntut ilmu.

Lumpuh kerana polio tidak halang jadi profesor hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPAT pukul 8.30 pagi, susuk tubuh seorang wanita lengkap berbaju kurung sambil membawa beg tangan dan kelengkapan peribadi miliknya sudah pun siap menunggu di atas kerusi roda depan rumahnya.

Setiap pagi, Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin akan dijemput menggunakan sebuah van yang diubah suai mengikut keperluannya.

Begitu juga waktu pulang, usai kerja, dia akan dihantar pulang ke terataknya yang terletak tidak begitu jauh dari tempatnya berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Dilahirkan sempurna seperti kanak-kanak lain, takdir merubah segalanya tatkala dia menginjak usia setahun akibat dijangkiti penyakit polio.

Menyorot kisah lampau itu, Ruzita yang merupakan pensyarah ekonomi di UIAM berkata, dia pada mulanya mengalami demam panas.

“Menurut cerita arwah ibu, selepas demam, kemudian saya terus tidak boleh berdiri dan berjalan serta disahkan lumpuh akibat polio yang menyerang sistem saraf serta menyebabkan kelemahan otot di seluruh badan (quadraplegia).

“Pada tahun 60-an, memang ramai dijangkiti penyakit itu,” katanya membuka bicara bersama K-Wanita.

Polio disebabkan oleh virus, dikatakan menjadi perhatian kesihatan awam untuk dihapuskan pada tahun 1988 di seluruh dunia apabila menjadi endemik di 125 buah negara. Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu kali pertama pada tahun 2000 setelah tujuh tahun sifar kes.

Menurut Ruzita, 62, sebagai anak kecil berstatus OKU pada masa itu, cabaran terbesar adalah mencari sekolah yang boleh menerima dirinya.

“Boleh dikatakan hampir semua sekolah menolak kemasukan saya kerana tiada kemudahan, kecuali hanya satu sekolah iaitu Sekolah Rendah Jalan Pudu ketika itu menerima dengan bersyarat. Syaratnya, ibu saya perlu menunggu sepanjang waktu persekolahan bagi membantu sekiranya saya perlu ke tandas dan sebagainya. Sekolah itu terletak kira-kira 1.6 kilometer dari rumah.

“Pada masa itu tidak ramai memiliki kenderaan peribadi termasuk kami, walaupun ayah saya pegawai bomba kerana kos anak OKU lebih tinggi dengan kos peralatan khas dan rawatan perubatan.

“Masih segar dalam ingatan, ibu saya terpaksa mendukung saya berulang-alik berjalan kaki ke sekolah setiap hari dan menunggu sepanjang waktu persekolahan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Ruzita (dua dari kanan barisan depan) ketika bersama rakan-rakan sepengajian ketika menuntut pengajian peringkat PhD.

Ceritanya, ketika darjah tiga dengan bantuan daripada pihak sekolah, dia berjaya mendapat sebuah kerusi roda.

Sejak itu jugalah katanya, dia akan ke sekolah bersama kakaknya yang akan membantu menolak kerusi roda tersebut berulang-alik dari rumah.

“Dipendekkan cerita, alhamdulillah saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan ditawarkan tempat pengajian di Universiti Malaya (UM) dan UIAM yang baharu sahaja ditubuhkan ketika itu.

“Atas nasihat guru-guru, saya menerima tawaran ke UIAM dalam program ekonomi.

“Alhamdulillah saya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Ekonomi dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di UIAM bermula 1987 hingga ke saat ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, selepas setahun mengajar, UIAM menghantarnya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sama.

“Jadi, pada tahun 1988, saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Northwestern University dan ijazah doktor falsafah di Rensselaer Polytechnic Institute, Amerika Syarikat hingga tahun 1994,” katanya.

Bermula 1994, Ruzita kembali pulang ke tanah air dan ditawarkan menjadi profesor di Kulliyyah Ekonomi & Sains Pengurusan, UIAM.

Akuinya, di peringkat awal berkhidmat, pelbagai cabaran perlu dilaluinya termasuk mengambil lesen dan memandu sendiri kenderaan ke universiti saban pagi.

Perkara tersebut katanya bukan mudah kerana kenderaan peribadinya perlu diubah suai mengikut spesifikasi (ketetapan) bagi pemandu OKU.

Dia juga terpaksa meminta bantuan daripada rakan-rakan staf termasuk pelajar untuk mengeluarkannya dari kereta dan meletakkannya ke kerusi roda.

“Dahulu pada awalnya saya memang boleh memandu sendiri ke tempat kerja. Cumanya akan ambil masa yang sedikit lama dan mesti kena ada orang bantu.

“Saya memang tidak boleh uruskan seorang diri. Bertahun juga saya memandu sendiri ke tempat kerja dan perlu meminta bantuan ramai sampailah UIAM sediakan perkhidmatan van mobiliti untuk saya dan staf OKU lain,” katanya.

Meneruskan perkongsian, Ruzita yang pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik), Kulliyyah Ekonomi & Sains Pengurusan pada 2005 hingga 2007 memberitahu, dia menggunakan pengalamannya untuk memastikan pelajar OKU di Malaysia mendapat hak sewajarnya serta berjaya dalam pendidikan tinggi.

Maka pada April 2012, tertubuhnya Unit Perkhidmatan OKU (Disability Services Unit @ DSU) yang diketuai Ruzita bersama-sama kakitangan dan pelajar OKU lain.

Kewujudan unit itu katanya merupakan hasil dan perjuangannya setelah terlibat dalam pengurusan UIAM selama lebih 20 tahun bermula 1897.

“DSU ditubuhkan dengan tujuan memberikan peluang yang sama untuk pelajar OKU mencapai kecemerlangan.

“Sehingga kini, DSU ada seramai 122 pelajar dan lebih 20 kakitangan berstatus OKU.

“DSU juga ditubuhkan bagi memperkasa pelajar OKU melalui Kelab Ibn Ummi Maktum (IMaC) yang dikelola oleh pelajar OKU dan bukan OKU bagi meningkatkan kesedaran tentang hak OKU dalam kalangan komuniti kampus,” katanya.

Jelasnya, sepanjang 13 tahun ditubuhkan, pelbagai penambahbaikan dan kejayaan telah dibawa DSU dalam usaha memperkasa golongan OKU bukan sahaja di kampus, malah di peringkat nasional.

Buktinya, Ruzita juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya serta terlibat dalam rundingan dan penggubalan dasar bersama pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan

Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang berkait rapat dengan golongan OKU.

Khusus bagi pelajar di IPT, Ruzita turut bertindak sebagai pengerusi bersama bagi membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Maszlee Malik pada September 2019.

Pada ketika itu, terdapat perancangan untuk melaksanakan dasar tersebut melalui penubuhan unit OKU di universiti awam seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Tujuan saya hanya satu yang mana kita hendak latih pelajar-pelajar ini menjadi pejuang-pejuang OKU.

“Mereka tahu isu yang ingin diketengahkan, malah juga dapat memperkembang kemahiran pengurusan organisasi dan komunikasi mereka,” katanya menutup bicara sekali gus menyeru agar golongan senasib dengannya terus berusaha dan tidak mudah putus asa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN