PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila ditipu selepas membeli ayam gunting yang disangkakan mempunyai isi ayam, namun rupa-rupanya hanya berisi tepung goreng semata-mata.
Menurut perkongsian di TikTok oleh @Nikamir, dia berkongsi klip video yang menunjukkan bahagian dalam ayam gunting yang dibelinya hanya mempunyai sedikit sahaja isi ayam, selebihnya dipenuhi lapisan tepung tebal.
“Kena scam awal-awal pagi, yang besar itu roti pastu dia salut tepung kat luar,” kata pemilik akaun itu di ruangan komen.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya terhibur dengan insiden tersebut.
“Berapa ringgit tu saya kerja kantin pun RM2 seketul besar,” kata @Piyachak.
“Cerita dia sekarang macam mana tepung itu lagi besar dari isi ayam,” kata @Sayalahjie.
“Tepung goreng tu sahaja sebenarnya, ayam tu ‘bonus’ sebab penjual dia baik hati ada ayam sedikit,” kata @Atsyahhh. – KOSMO! ONLINE.