ALOR GAJAH – Polis mengesan seorang pemandu bas ekspres yang dipercayai memandu secara berbahaya susulan tular satu rakaman video di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas video berdurasi 1 minit 20 saat itu tular pada pukul 1.05 tengah hari tadi.
Menurutnya, rakaman itu memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dengan cara duduk menyandar ke belakang dan mengendalikan stereng menggunakan sebelah tangan pada waktu malam.
“Perbuatan tersebut boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Hasil siasatan awal mendapati bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, perbuatan itu dipercayai dilakukan di Kilometer 196.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, namun siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Sehubungan itu, polis meminta pemandu bas terlibat supaya tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah bagi membantu siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. – KOSMO! ONLINE














