fbpx
Mentari terbit di ufuk timur berlatarbelakangkan Pulau Tokong Burung dan Pulau Tioman. Ikan ebek pertama trip ini menggunakan teknik jigging, saya menggunakan joran Hayaku Mad-Kerel PE 0.8-1.5 dipadankan dengan kekili Shimano Stella 4000HG.

Memori mentari ufuk timur Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Aktiviti memancing merupakan lumrah yang perlu dilakukan bagi penggemarnya tanpa mengira waktu. Bagaimana pula hendak memancing jika menghadapi bulan puasa? Selagi ada kemahuan, pasti ada jalannya.

Walaupun, Syawal bakal beransur pergi, namun kenangan memancing di bulan Ramadan yang lalu masih segar di ingatan. Ia sememangnya cukup mencabar. Mana tidaknya, kami perlu menempuh perjalanan panjang dari Johor Bahru untuk ke Penyabong, Johor yang mengambil masa hampir tiga jam perjalanan. Namun untuk mendapatkan suasana yang tidak ada di bulan-bulan lain, tetap kami gagahi semata-mata memenuhi tradisi setiap tahun.

Trip tradisi

Setiap tahun secara tradisinya kami akan memancing pada bulan Ramadan. Ini bagi mengambil suasana berbuka puasa dan bersahur di laut, namun agak mencabar bagi kami untuk merealisasikan trip ini memandangkan bulan Ramadan jatuh di kala Monsun Timur Laut belum melabuh tirai.

Beberapa tarikh telah dipilih dan semua dalam keadaan bersedia kerana jika angin tidak mengizinkan, trip akan dibatalkan serta-merta. Dengan berpandukan aplikasi pintar ramalan kaji cuaca, akhirnya kami berjaya meneruskan trip ini kerana kebetulan ada waktu senggang yang panjang dari tiupan angin monsun.

Menguji bot

Kebetulan bot kedua milik saya baru diturunkan ke air setelah melalui proses penyelenggaraan yang lama. Saya mengambil peluang untuk menguji keupayaan bot untuk trip pertama memancing malam.

Bot dengan panjang 32 kaki (9.7 metet) serta lebar sembilan kaki (2.7 meter) dinadikan dua buah enjin Suzuki 140hp cukup selesa untuk enam orang pemancing. Walaupun cuaca tidak sepenuhnya elok, tetapi dengan menaiki bot ini cukup menjamin keselamatan dan keselesaan semasa menjalankan aktiviti kami.

Memandangkan tidak ramai lagi yang keluar memancing malam, maka tiada maklumat berkaitan kewujudan sotong kerana belum tiba musim mencandat. Sotong merupakan umpan terbaik untuk memancing pada waktu malam berbanding umpan-umpan lain.

Namun, kami tetap menyediakan umpan udang sebagai persediaan sekiranya tiada sotong diperoleh pada waktu itu.

Lokasi memancing yang pertama adalah tempat mencandat sotong. Sambil mencandat, kami menunggu waktu berbuka puasa. Labuhan pertama tidak membuahkan sebarang hasil. Ini membuatkan saya sedikit cemas

Saya menunggu sehingga waktu berbuka dan setelah itu saya me­­ngubah lokasi baharu dan bersyukur kerana memperoleh beberapa ekor sotong lagi, cukup untuk sesi memancing kami.

Pancingan Dasar

Kami sememangnya tidak merancang untuk mencandat lebih lama kerana belum lagi masuk musim mencandat, oleh itu setelah difikirkan umpan sudah mencukupi untuk pancingan dasar, kami terus sepakat untuk memancing di Pulau Tokong Burung.

Keadaan arus sangat baik, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Cukup menggunakan batu ladung bersaiz sederhana. Set pan­cing juga kami gunakan set ringan dan sederhana berat. Namun ikan tidak mahu membuka mulut walaupun telah beberapa kali berubah tempat.

Ikan ebek terbesar trip ini dinaikkan Kateq dengan menggunakan kaedah jigging sapu lantai, iaitu kepingan jig dilepaskan jauh dan menghenjut jig secara perlahan di dasar.

Akhirnya saya terpaksa menunggu lebih lama di satu-satu tempat dan berharap ikan sudi dengan umpan dihulurkan. Sekitar pukul 1 pagi barulah ikan mahu menjamah umpan.

Beberapa ekor ikan kaci berjaya didaratkan. Memancing ikan ini lebih efektif apabila joran sentiasa dipegang kerana getuan halus dapat dirasa dan seterusnya melakukan sembatan. Jika tidak dipegang, kebiasaannya umpan akan habis begitu sahaja.

Pergi tak kembali

Di kala masing-masing sedang dalam tidur-tidur ayam, joran yang dipegang oleh Zaid dihenjut sesuatu.

Pada awalnya ikan tidaklah begitu agresif, namun setelah bebe­rapa ketika kekili memun­tahkan tali tidak henti-henti, maka diakhiri dengan kekecewaan setelah ber­usaha mengekang sedaya upaya dengan kemampuan set pancing ringan beliau.

Tidak semena-mena semua menjadi segar-bugar setelah kejadian tersebut. Sesi pancingan diteruskan sehingga waktu sahur, namun ikan sudah kurang memakan umpan. Malam yang panjang tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Mentari ufuk timur

Setelah selesai bersahur, ma­­sing-masing terus menunaikan solat subuh kerana selain waktu tengah malam, waktu perubahan malam ke siang juga merupakan waktu keemasan bagi menambah hasil pancingan.

Masing-masing bersedia dengan jig dan teknik pancingan dasar menggunakan umpan udang hidup.

Percaturan kami menjadi apabila pelbagai jenis ikan dapat didaratkan seperti kaci, ketarap, kerapu dan cermin.

Hasil keseluruhan trip kami, walaupun tidak banyak, tetapi memori yang terpahat lebih daripada segalanya.

Ditambah dengan keindahan mentari terbit di ufuk timur, sesi memancing menjadi satu memori yang tidak dapat dilupakan.

Jigging awal pagi

Waktu frenzy tidak lama, hanya sekitar dua jam sahaja, sebab itu pada waktu-waktu penting seperti ini semua pemancing digalakkan memancing kerana ikan tidak semestinya berterusan aktif. Jika terlepas peluang pasti pulang dengan kehampaan.

Setelah kurang sambutan, saya mengangkat sauh dan mengajak semua untuk memancing secara berhanyut. Masing-masing menggunakan teknik jigging ringan untuk menduga lubuk ikan ebek.

Jigging di awal pagi mempunyai kelebihan tersendiri. Selain lokasi belum terganggu dengan kehadiran pemancing lain, ikan juga dalam fasa memburu setelah berlaku perubahan waktu malam ke siang.

Hanyutan pertama saya sudah membuahkan hasil apabila jig Asuka Sea Mullet 60g berwarna hijau dan perak disedut lembut sejurus jig tiba ke dasar. Sentapan kuat dilakukan dan ikan memecut laju memun­tahkan tali.

Seekor ebek kapak menyerah ke permukaan setelah bertarung bebe­rapa ketika.

Sesi pancingan ditamatkan pada pukul 10 pagi dan kami bergerak pulang ke jeti dengan mengambil masa perjalanan selama 40 minit.

Kami perlu pulang awal sebelum matahari tegak di atas kepala bagi mengelakkan berlaku dehidrasi.

Beginilah meman­cing ketika bulan Ramadan, masa perlu disesuaikan bagi mengelakkan terlalu letih mengharung dugaan sepanjang hari berpuasa.

Semoga kami akan berjumpa lagi di Penya­bong untuk memancing pada Ramadan tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN