LONDON – Memandangkan sudah hampir pasti untuk terlepas takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Arsenal sekurang-kurangnya mahu menangguhkan hasrat pasukan peneraju, Liverpool bagi meraikan kejuaraan lebih awal.
Pengurus The Gunners, Mikel Arteta berharap anak-anak buahnya mampu melaksanakan tugas itu menjelang pertemuan menentang Crystal Palace yang akan berlangsung di Stadium Emirates awal pagi esok.
Pada ketika ini, Arsenal menghuni tangga kedua liga, 13 mata dibezakan dengan Liverpool yang hanya mengharapkan The Gunners tewas kepada Palace bagi memastikan takhta liga menjadi milik mereka.
Bagaimanapun, Arteta menjelaskan, beliau dan anak-anak buahnya tidak akan mudah menyerah kalah dalam perebutan takhta liga itu meskipun ia boleh dianggap sebagai misi mustahil bagi menyekat kemenangan The Reds.
“Apa yang pasukan kami boleh lakukan pada ketika ini adalah untuk menangguhkan detik itu (Liverpool juara). Kami juga mahu menamatkan saingan musim ini pada kedudukan terbaik,” katanya.
Sekiranya Arsenal tewas kepada Palace, Liverpool akan dinobatkan sebagai juara memandangkan Arsenal tidak mampu lagi untuk memintas meskipun berjaya memenangi kesemua baki empat perlawanan akan datang kerana perbezaan 13 mata.
Sementara itu, Arteta juga mungkin akan melakukan rombakan kecil terhadap kesebelasan utama pasukan bagi memberi peluang kepada pemain-pemain utama untuk mendapatkan rehat selain sebagai proses pemulihan. – AGENSI