SEREMBAN – “Saya hanya boleh beri komen selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan Rabu ini, setakat ini ‘no komen.”
Itu jawapan ringkas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengakui akan menghadiri mesyuarat tersebut sepertimana dipanggil oleh Setiausaha Agung atas persetujuan Presiden parti.
“Kita tunggu dulu. Akan ada perbincangan dibuat dalam mesyuarat itu nanti, ” katanya ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Dewan MBS Seremban di sini hari ini.
Bagaimanapun, berhubung keputusan pemilihan PKR yang dikatakan wujud trend aneh sebagai fenomena ‘badan tanpa kepala’ katanya, rakyat boleh melihat dan menilai susulan keputusan pemilihan tersebut.
“Apa masalahnya itu,…. Ada ketua cabang tewas tapi pasukan menang itu biasalah…saya rasa ramai dah komen mengenai perkara ini di luar sana. Tapi saya tetap no komen dan akan beri sebarang makluman selepas mesyuarat Rabu ini. Termasuklah sama ada hal-hal berkaitan exco ke, atau diri saya sendiri atau apa-apa, nanti kita akan maklumkan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal mendakwa mesyuarat tergempar MPP PKR akan diadakan bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.
Laporan sama turut menyebut, permohonan itu dibuat lebih 20 ahli MPP dan ia menepati Perlembagaan parti yang menetapkan MPP boleh bersidang dengan permintaan bertulis daripada sekurang-kurangnya satu pertiga ahlinya. – KOSMO! ONLINE