KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini sebentar tadi.
Skuad Sang Penyu mengakhiri cabaran musim ini di tempat kelima liga manakala KDA pula di tangga ke-11.
Begitupun TFC kendalian ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali terpaksa berpeluh sebelum berjaya menjinakkan skuad Lang Merah tersebut.
Aksi tersebut menyaksikan tiga gol masing masing-masing dua dijaringkan pemain KDA, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Milos Gorsic pada minit ke-18 dan 30 serta pertahanan tuan rumah, Azam Azmi Murad pada minit ke-69 dibatalkan pengadil.
TFC mendahului 1-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Safawi Rasid yang bijak merembat hantaran Engku Nur Syakir Engku Yacob pada masa kecederaan babak pertama.
Sewaktu KDA cuba bangkit mencari jaringan, TFC menambah derita pelawat dengan menjaringkan dua gol menerusi Ubaidillah Shamsul pada minit ke-74 dan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-90. – KOSMO! ONLINE