KUALA TERENGGANU – Biarpun mampu bersaing baik dengan menduduki tangga kelima, Terengganu FC (TFC) tidak menolak kemungkinan terpaksa menarik diri daripada Liga Super seterusnya beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro pada musim depan ekoran masalah kewangan.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kemungkinan itu sedang diperhalusi sekiranya kemelut kewangan yang sedang melanda TFC kini gagal diatasi sehingga akhir musim ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan beraksi dalam Liga A1 tetapi ia bukan keputusan mudah kerana banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu.
“Isu kewangan yang masih belum selesai terus menjadi cabaran utama buat pasukan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, TFC pernah berdepan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan tunggakan bayaran melibatkan pemain import.
Hishamuddin berkata, masalah kewangan yang sedang membelenggu skuad Sang Penyu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan perlu ditangani secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu itu berkata, PBSNT akur segala pilihan termasuk menarik diri daripada Liga Super perlu dilakukan sebagai jalan akhir kepada penstrukturan semula pasukan. – KOSMO! ONLINE














