DESAS-desus kemungkinan Terengganu FC (TFC) terpaksa menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super musim depan ekoran masalah kewangan benar-benar menggemparkan penyokong tegar skuad Sang Penyu.
Rata-rata mereka mengakui kecewa melihat kegemilangan pasukan yang dibina kukuh setelah kali terakhir bermain di Liga Perdana pada musim 2017 musnah begitu sahaja.
Ketua penyokong kelab Terengganu The Turtle, Mohd. Shamsul Bahari Md. Yunus berkata, sekiranya benar skuad Sang Penyu perlu menarik diri dari saingan Liga Super musim depan, ia musibah besar buat pembangunan bola sepak Terengganu.
Beliau berkata, kekal bersaing dalam Liga Super yang merupakan pentas tertinggi bola sepak negara bukan sahaja mengekalkan prestij pasukan, malah demi maruah negeri tercinta.
“Sebagai penyokong, kita mahu melihat TFC terus bersaing di Liga Super, lawan pasukan terbaik dan kekalkan identiti sebagai antara kelab elit.
“Begitupun jika benar masalah kewangan sudah terlalu tenat, kami pasrah dan anggap ia langkah sementara bagi menyusun semula kewangan serta melangsaikan hutang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Seorang lagi penyokong tegar, Mohd. Aminuddin Basri turut menentang keras cadangan meninggalkan aksi Liga Super dan membawa pasukan itu turun beraksi di Liga A1 Semi Pro pada musim depan.
“Pasukan sebenarnya boleh mengawal perbelanjaan dengan memilih pemain import dan tempatan yang bersesuaian dengan bajet. Kurangkan kos dan lakukan penjimatan secara menyeluruh termasuk dalam pemilihan pemain,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Najmuddin Nasir pula berpandangan berbeza dengan menyokong keputusan TFC untuk keluar daripada liga utama buat sementara waktu.
“Kita lihat pasukan yang sama sahaja mendominasi setiap musim.Jadi, kalau TFC mahu ambil langkah berundur seketika untuk menyusun semula pasukan dan kembali lebih kuat, itu keputusan yang boleh difahami,” ujarnya.














