fbpx

Kilang proses tempurung kelapa cemarkan udara diarah henti operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kilang memproses tempurung kelapa dekat Jitra ditahan operasi setelah didapati mencemarkan udara. Foto ihsan JAS Kedah

JITRA – Sebuah kilang memproses tempurung kelapa dekat sini diarah menghentikan operasi serta-merta kerana mencemarkan udara sehingga mengundang ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung pencemaran udara oleh kilang yang menghasilkan karbon hitam itu pada kelmarin.

Katanya, siasatan yang dijalankan pada hari sama mendapati aduan tersebut adalah berasas.

“Premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada semalam.

“Ia berikutan kegagalan mengadakan unit cerobong dan alat kawalan pencemaran udara di dalam premis semasa aktiviti pembakaran tempurung kelapa dijalankan untuk menghasilkan ‘carbon black’ sehingga menyebabkan pencemaran udara yang ketara di sekitarnya,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, penahanan tidak dapat dibuat serta-merta pada kelmarin kerana keadaan peralatan yang masih panas dan boleh membahayakan pegawai penguat kuasa.

“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.

“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 di bawah akta sama dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil.

“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI