fbpx
SUSPEK dibawa untuk proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam baru-baru ini.

Belum kahwin pun kemaruk beli bayi, bayar ejen RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sindiket pemalsuan butiran pengesahan kelahiran bayi di sekitar Sela­ngor yang dibongkarkan pihak berkuasa baru-baru ini turut mendapat perhatian golongan bujang yang mahu mendapatkan ‘bayi segera’ untuk dipelihara.

Siasatan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas kumpulan suspek yang memalsukan butiran tersebut mendapati, pembe­lian dokumen turut dilakukan oleh mereka yang belum berkahwin.

Menurut sumber, kumpulan bujang itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pasangan, namun belum mendaftarkan perkahwinan masing-masing.

Katanya, mereka mendapatkan bayi daripada ejen yang me­lakukan pemalsuan dokumen itu.

“Ini berkemungkinan disebabkan mereka mahu menjadikan bayi tersebut sebagai penyeri hidup meskipun hidup sebagai orang bujang.

“Mereka memilih jalan pintas ini agar tidak perlu melalui prosedur sah dalam pengambilan anak ­angkat,” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.

Menurut sumber lagi, siasatan awal turut menunjukkan ada dalam kalangan ibu bapa ‘segera’ telah berkahwin antara setahun hingga 25 tahun, namun belum dikurniakan anak.

Katanya, mereka terdesak untuk memiliki anak dan merasai suasana kehidupan berkeluarga dan sebahagian suspek dibekalkan oleh ejen melibatkan dokumen, namun ada juga yang diberikan bayi serta dokumen-dokumen berkaitan.

“Berdasarkan siasatan juga menunjukkan suspek-suspek ini mendapatkan khidmat daripada ejen-ejen berlainan. Kesemua ejen adalah warga tempatan,” ujarnya.

Katanya, siasatan bagaimanapun masih dijalankan berhubung status anak-anak tersebut sama ada daripada tidak sah taraf atau warga asing.

“Namun, siasatan lanjut mendapati ada kumpulan suspek ini membayar hingga mencecah RM80,000 bagi mendapatkan khidmat ejen-ejen tersebut,” katanya.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan, perbuatan 14 individu termasuk tiga wanita memalsukan butiran pengesahan kelahiran untuk bayi mereka terbongkar selepas ditahan dalam Ops Birth Selasa lalu.

Kesemua mereka yang berusia 28 hingga 49 tahun itu dipercayai membayar ejen serendah RM5,000 hingga RM20,000 bagi menguruskan dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital di sekitar Se­langor.

Dokumen itu termasuk ‘buku pink’ atau rekod kesihatan ibu yang mempunyai pengesahan doktor.

Perkara itu bagaimanapun terbongkar selepas suspek membuat permohonan MyKid dan sijil kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan mengemukakan maklumat palsu pada borang daftar kelahiran.

Kesemua suspek direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN