SEDARI kecil kita diajar tentang kebersihan baik di rumah mahupun sekolah. Antara yang asas perihal bagaimana menguruskan kebersihan diri, rumah, bilik darjah di sekolah dan alam sekitar.
Sebagai contoh, pembalut makanan serta sisanya mesti dibuang ke dalam tong sampah selepas makan, bukannya campak merata-rata tempat.
Namun sayangnya, menginjak dewasa, ramai ambil mudah segala didikan yang diterap itu bahkan selesa jadi pengotor sehingga menyusahkan orang lain.
Paling menyakitkan mata penulis adalah kebersihan tandas termasuklah di pejabat, pusat beli-belah, sekolah, hentian rehat dan rawat lebuh raya. Boleh dikatakan hampir setiap tandas disediakan tong sanitari tapi tidak digunakan secara betul.
Selain untuk menjaga kebersihan dan mudah digunakan, tong khas ini dapat mengelakkan masalah tandas tersumbat, menjimatkan kos penyelenggaraan dan dilengkapi bahan kimia bagi mematikan kuman serta menghindari bau.
Tong sanitari berfungsi sebagai tempat buang tuala wanita tetapi di Malaysia fasiliti ini turut menjadi tempat longgokan sampah lain khususnya tisu. ‘Melimpah’ tisu bergumpal di mulut tong itu, malah lebih menggelikan jatuh hingga ke lantai tandas.
Sikap nak mudah dan malas pelaku itu menyusahkan pengguna lain. Tisu sepatutnya buang dalam tong sampah, bukan tong sanitari atau lubang tandas!
Apabila tong sanitari penuh terpaksalah pengguna mencari alternatif lain untuk buang tuala wanita iaitu tong sampah yang pada akhirnya menyebabkan timbulnya bau kurang menyenangkan atau lebih parah jika buang dalam lubang tandas. Ini akan mendatangkan masalah lebih besar.
Senario ini bukan sahaja menyusahkan pekerja kebersihan tetapi tetapi ramai orang. Hanya kerana sikap malas dan ambil mudah macam-macam masalah boleh timbul.
Ketika berkunjung ke sebuah sekolah, penulis tepuk dahi apabila nampak tong sanitari turut menjadi tempat buang sisa makanan. Walhal tong sampah ada di sebelah. Situasi ini bukan hanya berlaku di sekolah itu apabila beberapa kenalan yang bertugas sebagai guru berkongsi di sekolah mereka pun sama. Kata mereka, sudah puas peringatan diberi tetapi masih berulang.
Kalau tak ada kesedaran walaupun sudah banyak kali diperingatkan tak tahulah nak cakap apa. Sikap buruk itu akan terbawa-bawa sehingga besar.
Macam yang penulis ulas tadi, di tempat kerja tong sanitari penuh dengan sampah asing. Pelakunya bukan kanak-kanak atau remaja tetapi individu dewasa yang sudah berakal. Barangkali sikap itu terbawa-bawa dari remaja dan sudah jadi kebiasaan hingga tiada apa-apa rasa ketika melakukannya. Sikit pun tak timbul rasa bersalah kerana beranggapan ‘sampah’ itu akan diuruskan pekerja pembersihan.
Sungguh tidak beretika, bagi penulis orang sebegini pengotor dan hanya mementingkan diri sendiri. Bagaimana mereka mahu bentuk keperibadian anak dan generasi seterusnya kalau diri sendiri tidak cakna soal kebersihan.
Kita sudah masuk tahun 2025 tetapi masih ramai otaknya kekal ‘mundur’ dan tidak bertamadun. Kasihan.














