SHAH ALAM – Seramai 1,875 mualaf berjaya didaftar pengislamannya di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sepanjang tahun lalu.
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, mengikut pecahan, seramai 1,031 mualaf didaftar di Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS merangkumi masjid dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).
Katanya, pendaftaran pengislaman bagi 844 mualaf lagi dibuat di Ibu Pejabat MAIS, Pejabat Ketua Pendaftar Muallaf dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
“Sebanyak 41 PPP disediakan pihak majlis di seluruh Selangor bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman.
“Usaha ini merupakan dakwah yang berpanjangan dengan sinergi di antara semua agensi terutamanya di kalangan PPP,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhuwah PPP MAIS 2025 di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejumlah RM103,100 disumbangkan kepada 30 PPP bagi menghargai peranan dan kebajikan pusat tersebut dalam membantu MAIS menguruskan proses pendaftaran pengislaman mengikut prosedur yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE