SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun begitu mengharapkan masalah pendengaran yang dialaminya sejak tahun lalu dapat dirawat agar membolehkannya meneruskan pembelajaran seperti sedia kala.
Aziati Hanis Azman yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu kini bergantung dengan alat bantuan pendengaran.
Disebabkan itu, anak gadis berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM89,500 bagi menjalani pembedahan implan koklea.
Bapanya, Azman Hussain, 52, bekerja sebagai juruteknik, manakala ibunya pula, Rosilah Ahmad, 49, merupakan seorang jururawat.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Aziati mula mengalami masalah itu sejak tahun lalu apabila bunyi yang didengarinya semakin perlahan dan lemah.
Menurutnya, remaja itu hanya memberitahu ibu bapanya mengenai masalah yang dihadapi pada tahun lalu apabila telinga kirinya tidak dapat mendengar sepenuhnya.
“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati struktur telinganya normal dan bahagian telinga dalam juga tidak rosak.
“Punca sebenar setakat ini tidak dapat dikenal pasti dan doktor mengesyaki masalah itu berpunca daripada saraf
pendengaran.
“Dalam tempoh lapan bulan, Aziati telah memakai alat bantuan pendengaran, namun ia berfungsi dengan terhad,” katanya di sini semalam.
Katanya, doktor telah mencadangkan agar Aziati menjalani pembedahan implan koklea, namun keluarganya tidak berkemampuan membiayai keseluruhan kos rawatan.
“Bagaimanapun, ibu bapanya hanya mampu menanggung kos RM20,000 dan mereka amat memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM89,500 lagi bagi merealisasikan pembedahan tersebut.
“Pasangan itu mempunyai tiga lagi anak lelaki berusia 17, 19 dan 22 tahun yang masih belajar,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare iaitu 3193433435 atau hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192 dan 019-232 2192.