fbpx
Iskandar membeli air bersih bagi kegunaaan harian di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh semalam. – TOREK SULONG

‘5 hari tiada air, minum air perigi saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut di sini, sejak lima hari lalu ekoran pencemaran air Sungai Rasau menyebabkan penduduk di sekitar kawasan tersebut terpaksa mengangkut air perigi dan membeli air minuman untuk kegunaan harian.

Sebelum ini, pencemaran air Sungai Rasau itu berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan menyebabkan LRA Wakaf Bunut milik syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di sini, tercemar sekali gus menjejaskan 8,500 akaun pengguna.

Seorang penduduk Kampung Pasir Sotong, Asmadi Mohamed, 60, berkata, penutupan LRA itu menyebabkan tekanan air menjadi perlahan selain kualitinya menjadi keruh dan berkeladak.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di pinggir kawasan hutan pokok gelam dan kawasan pantai juga tidak dapat menggunakan air dari telaga tiub berikutan kualiti air masam kelat dan payau.

“Ketiadaan bekalan air AKSB amat menyulitkan kami. Kami mandi dengan air yang berbau busuk dan membeli air minuman untuk minum dan memasak.

“Penduduk di sini menggesa AKSB mempercepatkan proses membaik pulih kualiti air di LRA Wakaf Bunut. Sekurang-kurang­nya, mereka perlu kerap membuat penghantaran air dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Seorang penduduk dari Kampung Raja Dagang, Iskandar Hakimi Zawani, 21, berkata, dia terpaksa berulang-alik ke Kuala Besut, Terengganu untuk membeli air yang dirawat bagi tujuan memasak.

Katanya, perbelanjaan mencecah RM40 sehari untuk membeli air minuman dengan kadar RM12 untuk 20 liter.

“Penduduk di kawasan ini tidak boleh membuat perigi atau telaga tiub ekoran berada dekat dengan pantai. Kami terpaksa berkorban untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan sebelum AKSB menghantar bekalan air ke rumah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pencemaran air Sungai Rasau yang berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan menyebabkan LRA Wakaf Bunut milik syarikat AKSB di sini tercemar sekali gus menjejaskan 8,500 akaun pengguna.

Difahamkan, AKSB akan menghantar bekalan air bersih berdasarkan aduan dan permintaan pengguna termasuk lori yang disewa khas bagi meringankan kesulitan pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN