SEBERANG PERAI – Seorang ibu muda sanggup menggalas tanggungjawab berat menjaga enam anaknya yang masih kecil dan enggan sesekali berpisah kasih setelah kematian suami tercinta secara mengejut lebih sebulan lalu.
Suri rumah, Farizah Adani Ismail, 35, berkata, suaminya, Mohd. Noor Affan Ruslan, 35, meninggal dunia di kediaman sewa mereka di Teluk Kumbar di sini, pada 19 Februari lalu akibat pembuluh darah pecah.
Katanya, dia terlalu sedih kerana suaminya ‘pergi’ kurang sebulan umat Islam menyambut bulan Ramadan dan meninggalkan enam anak berusia antara satu hingga 13 tahun.
“Suami kelihatan sihat dan sempat hantar anak-anak ke sekolah sebelum meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Ada orang hendak ambil dan suruh hantar anak ke rumah kebajikan tetapi saya tidak akan sesekali pisahkan mereka dan akan pikul tanggungjawab berat walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya yang berasal dari Teluk Kumbar di sini.
Menurut Farizah, sebelum ini dia hanya mengharapkan wang pendapatan suami untuk belanja harian dan bulanan.
Katanya, suami seakan memberi petanda apabila tidak memberi apa-apa reaksi ketika ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Arwah selalu tukar topik apabila ditanya mengenai Aidilfitri. Saya terasa kehilangannya kerana sebelum ini arwah yang sibuk menyediakan kelengkapan kami anak-beranak dan kini saya hilang tempat bergantung,” katanya.
Sebelum itu, Farizah dan enam anaknya dibawa membeli kelengkapan sekolah dan raya oleh Pengarah Urusan Yayasan Al Nasmir, Datuk Khadar Shah Abdul Razak menerusi Program Ziarah Kasih Ceriakan Syawal 2025.
Tujuh beranak itu turut menerima wang RM1,000, manakala sewa rumah serta bil air dan elektrik turut akan dilunaskan selama setahun.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara, Mohd. Iskandar Othman berkata, program berkenaan dilaksanakan setiap tahun bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Ini tanda keprihatinan kami untuk sama-sama memastikan keluarga ini bersedia menyambut kedatangan Syawal biarpun dilanda ujian susulan kehilangan orang yang disayangi.
“Kami berharap inisiatif seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai individu dapat dibantu,” katanya.














