PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan sesak teruk dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) ke di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang ini.
Tinjauan Kosmo! Online melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) pada pukul 6.50 petang mendapati berlaku kesesakan luar biasa di lebuh raya berkenaan sejak tengah hari ini.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada pertembungan trafik dari LTU ke KLK.
Jumlah kenderaan yang semakin meningkat turut menyumbang kepada kesesakan, terutama apabila orang ramai mula bergerak pulang ke ibu kota sejak pagi tadi selepas menyambut perayaan Aidilfitri.
Sementara itu, trafik perlahan dari Pedas Linggi ke Port Dickson (U), Kulai ke Sedenak, Jasin ke Ayer Keroh dan Simpang Renggam ke Machap.
Pergerakan trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan juga dilihat perlahan menuju ke Sungai Besi. – KOSMO! ONLINE













