KENDERAAN peronda robotik dilengkapi teknologi AI akan digunakan oleh polis Dubai pada tahun depan.

Dubai bakal guna kereta peronda polis robotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEWUJUDAN teknologi kecerdasan buatan (AI) banyak memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira bidang sama ada pembuatan, pertanian, pendidikan mahupun keselamatan.

Bagi bidang keselamatan, penggunaan sistem digital itu dapat membantu membanteras penjenayah pada tahap optimum, sekali gus memberikan jaminan keselamatan kepada khalayak.

Justeru itu, pasukan polis Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan usaha untuk menggunakan kereta peronda berkuasa elektrik yang dilengkapi dengan teknologi AI dan mampu digerakkan tanpa pemandu.

Kenderaan canggih yang dilengkapi dengan sistem pengawasan dan analisis masa nyata itu dipercayai telah bersedia untuk melakukan anjakan transformasi terhadap institusi kepolisan di bandar tersebut.

Inisiatif itu sejajar dengan visi Dubai untuk menjadikan kota itu sebagai salah satu bandar paling selamat dan bijak di mata dunia.

Pada masa sama, penjimatan terhadap tenaga manusia dapat dilakukan dengan cara menggantikan anggota polis dengan kereta peronda robotik bersifat digital.

Kereta peronda robotik dipacu dengan teknologi AI itu juga memiliki sistem yang membolehkan anggota polis bertugas menerima maklumat segera mengenai kegiatan mencurigakan seperti kecurian, ragut atau menjejaki penjenayah dikehendaki.

Teknologi digital itu secara tidak langsung membuktikan kemampuan Dubai mewujudkan persekitaran selamat buat masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan kecekapan polis.

Menurut Pegawai Jabatan Am Hal Ehwal Pentadbiran Polis Dubai Leftenan Rashid Haidar, kereta peronda robotik itu mempunyai kemampuan memandu secara automatik dengan dilengkapi kamera 360 darjah dan teknologi pengecaman muka.

“Kereta peronda ini merupakan kemajuan ketara dalam teknologi penguatkuasaan undang-undang.

“Objektif utama rondaan yang dikuasakan dengan AI adalah untuk meningkatkan liputan keselamatan, terutamanya di zon kediaman.

“Kenderaan peronda robotik ini mempunyai jangka hayat bateri yang mampu bertahan sehingga 15 jam dengan kelajuan antara lima hingga tujuh kilometer sejam,” katanya.

Ujar Rashid lagi, kamera 360 darjah turut memiliki kebolehan mengesan tingkah laku jenayah, mengecam muka dan membaca nombor pendaftaran kenderaan yang mencurigakan.

Pendekatan teknologi diambil oleh pentadbiran tempatan menjadikan Dubai sebagai bandar peneraju yang menggunakan AI bagi tujuan keselamatan. Penggunaan AI juga merupakan sebahagian daripada strategi memanfaatkan kemampuan teknologi secara maksimum dalam setiap aspek tadbir urus dan keselamatan awam.

“Kamera 360 darjah ini juga mempunyai daya kuasa penglihatan malam yang dilengkapi dengan sistem pengecaman nombor plat automatik (ANPR).

“Ini membolehkan pegawai polis mengenal pasti kenderaan yang dicuri atau mencurigakan dengan cepat.

“Penggunaan AI dalam mengenal pasti aktiviti jenayah merupakan langkah penting bagi membantu anggota polis mencegah jenayah secara proaktif.

KENDERAAN peronda robotik ini dilengkapi dengan kamera 360 darjah bagi membantu polis mencegah jenayah.

“Selain memiliki keupayaan pengesanan jenayah, kereta peronda ini turut dilengkapi teknologi komunikasi langsung yang membolehkan komunikasi masa nyata dibuat dengan Pusat Perintah dan Kawalan di Jabatan Gerakan Am Polis Dubai,” ujarnya.

Peralihan itu menjadi harapan baharu untuk meningkatkan keselamatan orang awam dan menambah baik sistem kawalan sedia ada.

Dengan memanfaatkan teknologi AI, polis Dubai menyasarkan kereta peronda robotik itu mampu mengurangkan kemalangan jalan raya, meningkatkan pemantauan tingkah laku pemandu dan memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Pada masa sama, kenderaan itu juga mampu memberikan bantuan kecemasan dengan pantas dan mengemas kini maklumat lalu lintas secara nyata terutamanya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terjamin, kereta peronda robotik turut dilengkapi dengan dron yang akan keluar dari bahagian atas kenderaan itu untuk mengakses kawasan tidak boleh dimasuki.

“Dron ini turut memiliki keupayaan untuk mengekalkan komunikasi tanpa wayar dengan kereta peronda robotik,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Micropolis Robotik Fareed Al Jawhari berkata, ciri mekanikal yang inovatif pada kenderaan peronda itu termasuk sistem stereng, brek dan kawalan enjin bebas untuk setiap roda.

“Ciri-ciri ini membolehkan kenderaan bergerak dalam pelbagai arah termasuk ke hadapan, ke belakang, sisi dan juga melakukan gerakan tangkas sekiranya diperlukan atau saat menangani penjenayah.

“Sejak diperkenalkan pada 2023, kenderaan ini sudah menjalani banyak ujian lanjut sebelum bersedia untuk digunakan.

“Berdasarkan beberapa ujian yang telah dilakukan, kenderaan ini dijangka beroperasi pada tahun depan,” ujarnya.

Kenderaan peronda itu juga menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan analisis data berskala besar untuk menilai corak jenayah, sekali gus membantu pihak berkuasa menggunakan maklumat dengan lebih berkesan.

Fareed turut memberitahu, kereta peronda itu dihubungkan dengan pejabat pusat polis Dubai yang membolehkan komunikasi segera antara pegawai di lapangan dan ibu pejabat dibuat.

“Ketersambungan masa nyata dapat membantu meningkatkan penyelarasan, selain memastikan tindak balas pantas terhadap kecemasan, kemalangan dan ancaman.

“Di luar pencegahan jenayah, kenderaan berkuasa AI ini akan memainkan peranan penting dalam pemantauan lalu lintas dan pencegahan kemalangan.

“Kenderaan peronda ini juga mampu menguruskan trafik secara pintar dan mengesan pemandu yang melanggar undang-undang atau meletakkan kenderaan di tempat haram.

“Saman juga boleh dikeluarkan terus kepada pemandu, manakala maklumat kesalahan jalan raya akan dihantar ke pangkalan data polis Dubai.

“Kaedah ini membuatkan prosedur penguatkuasaan undang-undang lebih sistematik dan kemas,” katanya.

Polis Dubai turut menjadikan usaha itu sebagai salah satu cara untuk menyumbang kepada matlamat mengurangkan pembebasan karbon.

Peralihan ke arah kenderaan penguatkuasaan undang-undang mesra alam adalah sejajar dengan strategi mobiliti hijau dan mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai peneraju pembangunan bandar mampan.

Dubai juga menjadikan teknologi itu sebagai penanda aras global dalam kepolisian pintar dan penguatkuasaan undang-undang.

Pada masa sama, kenderaan peronda robotik itu mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancong, di samping menangani aktiviti jenayah dengan lebih cekap.

Terdahulu, prototaip kereta peronda berteknologi AI itu telah dipamerkan dalam acara GITEX Global 2023 di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN