DALAM kehidupan seharian, kita sering mendengar pelbagai rancangan, janji dan impian yang dilaungkan oleh individu, organisas dan pemimpin. Namun, tidak semua yang dibicarakan itu menjadi kenyataan.
Fenomena ‘sembang dahulu, jadi tak jadi kemudian’ bukanlah sesuatu yang asing, malah ia semakin berakar dalam masyarakat, dari skala kecil seperti perbualan antara rakan hingga ke peringkat besar melibatkan janji politik dan projek pembangunan.
Dalam dunia perniagaan, misalnya, ramai individu ghairah berkongsi idea dan rancangan mereka di media sosial atau dalam perbualan harian, tetapi akhirnya tidak mengambil langkah konkrit untuk merealisasikannya.
Keadaan ini bukan sahaja membuang masa tetapi juga mencerminkan kurangnya disiplin dan kesungguhan dalam mencapai matlamat.
Melihat kepada situasi dunia politik pula, janji-janji yang tidak ditepati sering menjadi isu utama apabila pemimpin politik gemar menjanjikan pelbagai inisiatif hebat semasa kempen pilihan raya, namun setelah berkuasa, banyak yang tidak dilaksanakan.
Menurut kanselor, Noor Hayati Mamat, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan budaya ini terus berkembang antaranya, kurang perancangan dan ilmu.
“Ramai orang bercakap berdasarkan emosi dan keinginan, tanpa kajian atau perancangan rapi. Ini menyebabkan idea yang dikemukakan kelihatan menarik tetapi tidak realistik.
“Faktor yang lain adalah tekanan sosial dan budaya media. Di era digital, ramai yang mahu kelihatan hebat di mata orang lain. Mereka awalnya bersungguh-sungguh berkongsi visi dan rancangan besar di media sosial, tetapi akhirnya gagal merealisasikannya kerana lebih sibuk membina imej diri daripada bertindak melaksanakan janji-janji itu,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, fenomena ‘sembang dahulu, jadi tak jadi kemudian’ paling kerap berlaku dalam dunia politik serta perniagaan disebabkan mereka memerlukan sokongan dan kepercayaan orang ramai untuk kepentingan peribadi.
“Dalam politik dan perniagaan, ada individu yang sengaja memberi janji palsu untuk mendapatkan sokongan atau pelaburan tanpa niat sebenar untuk menunaikannya.
“Ini bukan sahaja mencerminkan ketidakjujuran tetapi juga melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap pemimpin dan sistem,” katanya.
Memetik satu firman Allah bermaksud; “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah Al-Isra’, Ayat 34).
Sebelum ini, dalam satu perkongsian, pendakwah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, umat Islam diingatkan agar tidak mempermainkan nazar, janji dan sumpah yang telah dilafazkan dengan tidak menunaikannya.
Katanya, kewajipan menunaikan semua perkara itu jelas disebut di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
“Ini amaran kepada mereka yang suka main-main dengan sumpah, nazar dan janji. Biasanya, kalau dia tak tunaikan nazar, janji dan sumpah, mereka akan ditimpa musibah yang berat.
“Pelbagai bentuk musibah yang kita tidak tahu. Allah ‘bayar’ mengikut kehendak-Nya,” tegasnya.















