DI Malaysia, kencing manis atau diabetes menjadi salah satu masalah yang membimbangkan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, 3.6 juta atau 15.6 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes.
Ketua dan Perunding Nefrologi di Jabatan Nefrologi, Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Lily Mushahar berkata, diabetes adalah penyakit kronik, di mana tubuh mengalami kesukaran untuk mengawal paras gula (glukosa) dalam darah.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan paras glukosa meningkat dengan luar biasa akibat daripada gangguan pada hormon insulin iaitu hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk membantu sel menukar glukosa kepada sumber tenaga.
“Berbeza daripada diabetes jenis satu yang merupakan keadaan autoimun, di mana sistem tubuh badan menyerang dan memusnahkan sel-sel penghasil insulin di pankreas. Diabetes jenis dua pula dikaitkan dengan rintangan insulin (insulin resistance).
“Ini bermakna, sel-sel tubuh tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin, sekali gus menyebabkan paras gula dalam darah meningkat,” katanya.
Tambahnya, diabetes jenis dua biasanya didiagnosis pada peringkat umur dewasa, jenis diabetes yang paling lazim dan boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup pada peringkat awal penyakit.
Kini, pradiabetes dianggap sebagai penanda awal untuk masalah diabetes.
Pradiabetes bermakna paras gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai diabetes jenis dua.
Dr. Lily menjelaskan, tanpa sebarang perubahan gaya hidup, individu dengan pradiabetes biasanya akan menghidap diabetes jenis dua.
Jelasnya, hampir 5 juta orang di Malaysia kini berisiko mempunyai pradiabetes dan menghidap penyakit diabetes.
“Golongan lebih tua didapati mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami pradiabetes dan diabetes, dengan kelaziman 11.1 peratus dalam kalangan individu berumur 30-49 tahun dan 39.9 peratus bagi mereka berumur 50 tahun ke atas. Kajian juga menunjukkan bahawa individu dalam status ekonomi yang rendah lebih cenderung berisiko menghidap diabetes,” ujarnya.
Kesan-kesan pengambilan gula yang berlebihan pada jangka masa panjang termasuk peningkatan berat badan.
Selain itu, pengambilan gula berlebihan secara berterusan juga boleh meningkatkan kadar glukosa darah dan mengurangkan tindak balas sel-sel pankreas kepada insulin.
Ini akan mengakibatkan rintangan insulin dan meningkatkan risiko diabetes jenis dua.
Dalam masa sama, pengambilan gula berlebihan juga boleh mempercepatkan proses penuaan.
Apabila gula bertindak balas dengan protein dalam badan, ia membentuk sebatian yang dikenali sebagai Produk Akhir Glikasi Lanjutan (AGEs). Sebatian ini boleh merosakkan kolagen dan elastin – protien yang mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit.
Dr. Lily menjelaskan, pengambilan gula berlebihan juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
“Kandungan gula tinggi dalam darah boleh mengakibatkan nefropati diabetik iaitu keadaan di mana saluran darah kecil dalam buah pinggang (glomeluri) tidak dapat menapis toksin dan sisa makanan dengan sempurna.
“Obesiti dan diabetes juga sering disertai dengan tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan kerosakan kronik pada buah pinggang,” jelasnya.














