fbpx
Sensor bioelektronik IREM-W2MS3 yang melakukan penilaian ke atas peluh itu boleh menjadi solusi pemeriksaan atau pemantauan kesihatan melibatkan penyakit-penyakit seperti diabetes tanpa proses menyakitkan.

Tak perlu cucuk! ‘Plaster’ peluh pintar ganti ujian darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN teknologi kesihatan boleh pakai atau wearable kini semakin maju apabila penyelidik berjaya membangunkan sensor peluh tanpa wayar yang mampu memantau pelbagai biomarker kesihatan secara berterusan.

Inovasi berkenaan dilihat berpotensi mengubah gaya hidup masyarakat moden terutama dalam aspek penjagaan kesihatan harian.

Hal ini kerana pengguna tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada ujian darah atau pemeriksaan klinikal yang rumit dan memakan lama yang lama untuk mendapatkan keputusan.

Peranti pintar itu dibangunkan sekumpulan penyelidik dari University of California (UCI), Irvine, Amerika Syarikat apabila berjaya menghasilkan sensor kecil fleksibel yang boleh dipakai terus pada permukaan kulit terutama pada bahagian lengan.

Menurut Pengarang Kanan Kajian dan Penolong Profesor Kejuruteraan Elektrik, Sains Komputer UCI, Rahim Esfandyar-pour, ciptaan tersebut mampu beroperasi secara berterusan dalam jangka masa yang lama di permukaan berpeluh.

Katanya, keupayaan alat penderia bioelektronik yang dikenali sebagai IREM-W2MS3 atau (In-Situ Regeneratable, Environmentally Stable, Multimodal, Wireless, Wearable Molecular Sweat Sensing System) berjaya menjadi solusi pemantauan kesihatan lebih praktikal.

“Sensor ini mampu mengesan pelbagai maklumat penting daripada peluh manusia termasuk tahap glukosa, laktat (asid laktit), vitamin dan bahan kimia tertentu berkaitan kesihatan tubuh.

“Teknologi ini menggunakan sistem elektrokimia canggih bagi menganalisis kandungan peluh sebelum menghantar data terus ke telefon pintar atau peranti digital pengguna secara masa nyata.

“Pendekatan kami gunakan bukan sahaja memudahkan pemantauan kesihatan, malah membantu individu memahami keadaan tubuh mereka dengan lebih cepat dan tepat,” katanya di portal rasmi UCI.

Berbeza dengan alat pemeriksaan tradisional yang memerlukan sampel darah, sensor ini hanya memanfaatkan peluh yang dihasilkan tubuh ketika melakukan aktiviti harian termasuk bersenam, berjalan atau bekerja.

Ia sekali gus menjadikan proses pemantauan kesihatan lebih selesa, tidak menyakitkan dan sesuai digunakan dalam kehidupan seharian.

Teknologi sensor tersebut mampu berfungsi sehingga beberapa hari tanpa perlu diganti selain direka menggunakan bahan lembut yang mudah menyesuaikan diri dengan pergerakan kulit.

GAMBARAN AI bagaimana peranti IREM-W2MS3 melakukan pemprosesan sehingga maklumat disalurkan ke telefon pintar.

Saiznya yang kecil dan ringan menyamai rupa bentuk sekeping plaster luka biasa atau setem pos turut memberi keselesaan kepada pengguna untuk memakainya dalam tempoh lama sekitar 21 hari tanpa mengganggu aktiviti harian.

“Perkembangan teknologi ini dilihat sejajar dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat serta pemantauan kesihatan kendiri.

“Kita boleh melihat bagaimana ramai pengguna mula memanfaatkan jam tangan pintar dan gelang kecergasan bagi memantau kadar denyutan jantung, tidur dan jumlah langkah harian.

“Kehadiran sensor peluh pintar pula dilihat sebagai evolusi baharu kerana ia mampu memberikan maklumat kesihatan yang lebih mendalam berbanding peranti kecergasan biasa,” katanya lagi.

Peranti penderia peluh pintar dibina secara berlapis-lapi menggunakan struktur sandwich yang sangat nipis dan berintegrasi.

Memetik media antarabangsa Medical Press, terdapat papan litar elektronik flekibel yang mengandungi cip pemprosesan mikro dan gegelung antena untuk komunikasi tanpa wayar pada bahagian atas.

peranti boleh disambung kepada telefon bimbit untuk memberikan pengguna tentang tahap kesihatan mereka seperti diabetes kerana ia boleh memberikan maklumat mengenai glukosa.

Struktur peranti dibahagikan kepada lapisan bendalir mikro (microfluidic) yang terdiri daripada upper channel layer dan sensing chamber layer yang berfungsi untuk mengalirkan serta menampung sampel peluh.

Bahan aktif seperti karbon dan Ag/AgCl (perak/perak klorida) digunakan sebagai komponen elektrod penderia molekul untuk mengesan kandungan kimia dalam peluh secara elektrokimia.

“Lapisan pertengahan peranti disokong oleh bahan polimer fleksibel yang dinamakan SEBS (Stirena-Etilena-Butilena-Stirena) Substrat bertindak sebagai tapak.

“Komponen gel carbachol berfungsi untuk merangsang pengeluaran peluh secara selamat pada kawasan kulit melalui proses iontoforesis elektrik ringan tanpa memerlukan pengguna bersenam.

“Pada lapisan paling dalam pula ialah accumulation layer (lapisan pengumpulan) yang bertindak mengumpul dan menapis cecair peluh yang dirembeskan sebelum dialirkan ke bahagian penderia di atas,” lapor media tersebut.

Esfandyar-pour

Peranti ini dipasangkan (paired) terus ke telefon pintar menggunakan sambungan wayarles (NFC) bagi tujuan menyemak keputusan tahap kesihatan.

Sensor peluh tanpa wayar bebas bateri ini yang berfungsi tanpa kehilangan ketepatan penjejakan dilihat dapat memberi manfaat kepada individu yang mempunyai risiko diabetes memantau perubahan keadaan tubuh dengan lebih mudah.

Bacaan laktat (ester asid laktik) pula dapat membantu atlet atau individu aktif memahami tahap keletihan dan prestasi fizikal mereka.

Kata Esfandyar-pour, pemantauan vitamin tertentu juga boleh memberi gambaran awal berkaitan tahap nutrisi tubuh sekali gus membantu pengguna mengurus pemakanan secara lebih baik.

“Melalui data yang dikumpulkan secara berterusan, pengguna boleh mengenal pasti perubahan tubuh lebih awal sebelum sesuatu masalah kesihatan menjadi serius.

“Pendekatan ini dilihat penting terutama dalam dunia moden yang menyaksikan peningkatan penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

“Bukan saja individu biasa, sensor peluh pintar juga berpotensi dimanfaatkan dalam sektor sukan, penjagaan warga emas dan pemantauan pesakit.

“Bagi atlet profesional, data biomarker yang diperoleh dapat membantu jurulatih merancang latihan lebih tepat berdasarkan keadaan tubuh atlet,” katanya.

Dalam bidang perubatan pula, doktor juga berpotensi memanfaatkan teknologi berkenaan untuk memantau keadaan pesakit dari jauh tanpa memerlukan pemeriksaan fizikal secara kerap. Ia secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan selain memudahkan pesakit mendapatkan pemantauan berterusan.

Bagaimanapun menurut Interesting Engineering alat ini masih berada pada peringkat pembangunan dan penyelidikan lanjut serta belum dijual secara meluas kepada orang awam.

“Teknologi IREM-W2MS3 baharu sahaja diumumkan secara rasmi oleh para penyelidik (UCI) pada 13 Mei 2026.

“Penyelidik sedang menerokai jalan terbaik untuk mula mengilang dan menghasilkan peranti dalam skala yang besar selain ia hanya digunakan dalam persekitaran ujian klinikal dan makmal oleh para pengkaji untuk menguji ketahanannya pada kulit manusia,” lapor portal berkenaan.

Biarpun berada dalam fasa kajian, alat tersebut dilihat mampu memudahkan pengguna mengambil langkah awal seperti berehat, kawalan pemakanan atau mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Sekiranya teknologi ini berjaya dikomersialkan secara meluas pada masa depan, tidak mustahil pemantauan kesihatan harian akan menjadi semudah memakai jam tangan atau pelekat kecil pada kulit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN