fbpx
MOLEY Robotics dilengkapi sepasang lengan robotik yang direka untuk meniru pergerakan tukang masak.

K2

Robot urus dapur, mampu hasilkan lebih 5,000 resipi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA teknologi semakin berkembang pesat dengan pelbagai inovasi baharu yang menjadikan kehidupan manusia lebih mudah dan selesa.

Ini termasuk inovasi yang memudahkan kerja harian di rumah dengan bantuan khidmat robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut perkongsian daripada portal, thepeak.com.my, teknologi juga telah mencetuskan revolusi dalam dunia masakan menerusi dapur automatik, Moley Robotics.

Menurutnya, teknologi dapur automatik bukanlah sekadar impian dalam filem fiksyen sains, tetapi telah menjadi realiti yang boleh digunakan di rumah.

“Moley Robotics adalah dapur pintar yang dilengkapi dengan sistem robotik canggih untuk menyediakan hidangan secara automatik tanpa memerlukan campur tangan manusia.

“Ia dibangunkan oleh syarikat teknologi, Moley Robotics yang berpangkalan di Britain. Dapur ini pertama kali diperkenalkan kepada umum pada tahun 2021 dan telah menarik perhatian ramai kerana kemampuannya meniru kemahiran tukang masak profesional,” katanya.

Tambahnya, dengan keupayaan untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan hanya dengan satu sentuhan butang, dapur itu dikatakan dapat mengubah cara manusia memasak di rumah dan menjadikan pengalaman memasak lebih mudah serta menyeronokkan.

Berkongsi tentang ciri-ciri utama Moley Robotics, ia dilengkapi dengan beberapa teknologi canggih yang membolehkannya berfungsi seperti seorang tukang masak profesional.

Antara ciri-ciri utama dapur itu termasuklah lengan robotik berteknologi tinggi, perisian resipi pintar, sistem penyediaan dan pengendalian bahan secara automatik, pembersihan sendiri serta kawalan melalui aplikasi.

Dapur itu mempunyai sepasang lengan robotik yang direka untuk meniru pergerakan seorang tukang masak.

Pergerakan tersebut diimitasi dan dibangunkan dengan bantuan cef terkenal, Tim Anderson yang juga merupakan pemenang MasterChef UK.

Dia turut menyumbang kepada pembangunan kemahiran memasak robot tersebut ketika beroperasi di dapur.

Menerusi perisian pintar, Moley Robotics boleh menyimpan dan meniru lebih 5,000 resipi, di mana pengguna boleh memilih hidangan daripada menu digital dan dapur akan menyediakannya secara automatik tanpa memerlukan bantuan manusia.

MOLEY Robotics mampu memudahkan urusan manusia di dapur.

“Bagi sistem penyediaan dan pengendalian bahan secara automatik, dapur ini dilengkapi dengan peti sejuk pintar yang boleh menyimpan bahan masakan pada suhu sesuai.

“Robot ini mampu memotong, menggoreng, merebus dan mencampurkan bahan dengan tepat bagi menghasilkan satu hidangan persis hasil tangan cef sebenar,” ujarnya.

Katanya lagi, salah satu kelebihan utama dapur itu adalah kemampuannya untuk pembersihan sendiri selepas memasak, sekali gus menjadikan kerja di dapur menjadi lebih mudah dan efisien.

Pengguna juga boleh mengawal operasi robot tersebut melalui aplikasi khas yang membolehkan pengguna memilih hidangan dan mengawasi proses memasak dari jauh.

Aplikasi itu juga boleh diintegrasikan dengan sistem rumah pintar untuk pengalaman memasak yang lebih moden, mudah dan selesa.

Kongsi The Peak lagi, Moley Robotics mempunyai beberapa kelebihan, antaranya memudahkan kerja memasak terutamanya buat individu yang sibuk atau mereka kurang mahir dalam bidang masakan.

Ia juga boleh menyediakan hidangan berkualiti seperti di restoran terkemuka menerusi keupayaan meniru teknik cef profesional.

“Dapur robotik juga boleh menyumbang kepada pengurangan pembaziran makanan, di mana robot ini menggunakan bahan masakan dengan lebih tepat, sekali gus mengurangkan pembaziran.

“Ia juga menjimatkan masa, di mana pengguna boleh melakukan aktiviti lain sementara dapur memasak untuk mereka,” kongsinya.

Dapur robotik turut menekankan aspek kebersihan dan keselamatan apabila ia dilengkapi dengan sistem pembersihan automatik serta direka untuk mengelakkan sebarang bahaya seperti tumpahan minyak atau pemanasan berlebihan.

Di sebalik kelebihan itu, terdapat juga cabaran dan kekangan menerusi operasi dapur robotik yang mungkin dihadapi oleh pengguna.

Antaranya adalah kos yang tinggi kerana harga dapur itu boleh mencecah kira-kira RM1.4 juta.

Kos penyelenggaraan juga diperlukan kerana ia dilengkapi sistem robotik kompleks yang memerlukan penyelenggaraan berkala.

Ia juga dikatakan tidak menggantikan sepenuhnya tukang masak manusia, walaupun boleh menyediakan pelbagai hidangan.

Ini kerana, robot berkenaan mungkin tidak fleksibel seperti seorang cef dalam menyesuaikan rasa dan kreativiti masakan.

Namun begitu, Moley Robotics masih dilihat sebagai satu langkah besar ke arah masa depan dapur automatik.

Dengan perkembangan AI dan robotik, dapur seperti itu dijangka menjadi lebih mampu milik serta mudah diakses dalam beberapa tahun akan datang.

Pihak pembangun juga berusaha untuk meningkatkan lagi fungsi dapur berkenaan dengan menambah lebih banyak resipi, meningkatkan kelajuan memasak dan menjadikannya lebih pintar melalui integrasi bersama teknologi Internet of Things (IoT).

“Dapur robotik adalah inovasi yang mengubah cara kita melihat dunia masakan dengan keupayaan memasak secara automatik, membersihkan sendiri dan menyediakan hidangan berkualiti tinggi. Dapur ini membawa konsep rumah pintar ke tahap lebih tinggi.

“Walaupun harganya masih tinggi buat masa ini, namun tidak mustahil dalam beberapa tahun akan datang teknologi ini akan menjadi lebih berpatutan. Jadi, ia boleh dimiliki oleh lebih ramai pengguna di seluruh dunia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN