fbpx
DUA sahabat berstatus graduan universiti ini pernah meraih anugerah dalam Anugerah Agropreneur Agrobank 2022.

K2

Dua sahabat ceburi bidang ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA generasi muda yang lain lebih berminat memilih kerja kolar putih dan glamor, ia tidak bagi Mohamad Hafizi Ismail, 29, dan Muhammad Zaaidulfaiz Sobri, 29.

Dua sahabat yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah ini memilih untuk terlibat dalam dunia penternakan dan bersama-sama menubuhkan Tekun Lestari Agro Farm dengan menternak kambing dan lembu.

Mohamad Hafizi berkata, minat yang mendalam dalam bidang perniagaan telah membuatkan mereka berdua memilih untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan meskipun masing-masing sebenarnya merupakan graduan Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam.

Mereka menceburi kerjaya dalam bidang penternakan setelah mengambil kursus sijil penternakan di Tenang Agro Farm di Kuala Nerang selama enam bulan.

“Pada 2021 kami berdua menyertai Program Hijrah Asnaf Ruminan yang dikendalikan oleh Agrobank. Di bawah program itulah kami mengambil kursus sijil penternakan di Tenang Agro Farm,” katanya.

Sepanjang tempoh enam bulan, banyak ilmu berkaitan penternakan yang mereka berdua belajar.

Antaranya, mereka mempelajari bagaimana cara untuk menternak lembu dan kambing dengan betul, cara mengawal penyakit, pemasaran hasil ternakan dan pelbagai lagi.

Setelah tamat program tersebut, Mohamad Hafizi dan rakannya secara serius melibatkan diri dalam bidang ternakan.

Menurutnya, mereka memulakan perniagaan dalam bidang ternakan itu dengan bermodalkan dua ekor lembu sahaja.

“Agrobank bekerjasama dengan Lembaga Zakat Kedah memberikan kami dua ekor lembu ini sebagai permulaan.

“Kemudian kami menjual lembu itu untuk ibadah korban dan wang yang dapat kami jadikan sebagai modal untuk membeli kambing.

SEBAHAGIAN daripada 23 ekor lembu di Tekun Lestari Agro Farm.

“Dengan keuntungan menjual kambing, kami gunakannya untuk membangunkan ladang ternakan untuk kami menternak kambing dan lembu,” ujarnya.

Usaha yang mereka lakukan itu ternyata membuahkan hasil dan ladang ternakan mereka terus berkembang.

Kini, setelah lebih empat tahun beroperasi mereka menternak lebih 23 ekor lembu dan 25 ekor kambing.

Selain menternak lembu dan kambing dan menjualnya secara hidup, mereka juga turut menyediakan pakej korban dan juga akikah untuk para pelanggan.

Dalam masa sama, mereka turut menjual daging lembu perap dan kambing perap.

“Mempelbagai produk adalah salah satu cara untuk kami menggandakan keuntungan berbanding menjual lembu atau kambing yang diternak secara hidup sahaja.

“Kami turut menjual kambing golek dan menyediakan perkhidmatan siap masak untuk para pelanggan yang mengambil pakej akikah dengan kami,” jelas Mohamad Hafizi yang memberitahu mereka juga mendapat bimbingan daripada Agrobank Centre of Excellence (ACE) untuk menguruskan perniagaan tersebut ketika mengikuti program berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini mereka masih berhubung dengan pihak ACE untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Mereka banyak memberi latihan kepada kami bagaimana untuk berniaga termasuk kami diajar untuk mengurus kewangan, pemasaran produk dan sebagainya.

“Bimbingan seperti ini sangat membantu kerana ketika mula-mula terlibat dalam bidang ini, kami tiada asas dalam bidang perniagaan,” ujarnya.

Tambahnya, pemilihan mengikuti Program Hijrah Asnaf Ruminan itu adalah satu keputusan tepat yang dilakukan dan kini bidang penternakan telah menjadi sumber pendapatan utama mereka berdua.

Malah, untuk masa hadapan mereka berdua juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi skala ladang penternakan yang diusahakan.

Kerja keras mereka berdua menceburkan diri dalam bidang penternakan ternyata membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Agropreneur Agrobank 2022 bagi kategori Anugerah Khas Ikon Inkubator.

Dalam pada itu, Mohamad Hafizi juga menitip pesan kepada generasi muda di luar sana untuk turut sama melibatkan diri dalam bidang penternakan. Ini penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa mencukupi.

“Kita perlu lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam bidang ini kerana sumber makanan berasaskan haiwan ternakan amat diperlukan.

“Generasi muda ini mempunyai banyak idea dan mereka boleh mengembangkannya dalam skala lebih besar sekali gus dapat membantu menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN