SEBELUM tiba Ramadan, di dalam kepala sudah terbayang senarai menu untuk dijamah ketika waktu berbuka puasa selain juadah wajib yang mahu disediakan buat seisi keluarga.
Bukan perkara asing untuk golongan ibu melakukan persediaan awal dari segi penyediaan buat hidangan berbuka mahupun bersahur terutama yang mempunyai ramai anak.
Pada masa sama, langkah berkenaan juga dapat menjaga bajet keluarga agar tidak terlebih berbelanja atau ‘terbabas’ peruntukan kos makanan dan bahan mentah sepanjang 30 hari.
Begitupun, memasuki bulan puasa yang kini sudah di minggu kedua, tidak semua perancangan berjimat dapat direalisasikan melihatkan kemeriahan bazar Ramadan di sana sini.
Walau sudah memasak di rumah, sebaik kaki melangkah ke bazar dengan cuaca membahang serta tekak kering, ketika itu setiap gerai bagai melambai-lambai untuk disinggahi.
Apatah lagi andai kunjungan ke fiesta jualan bermusim itu disertai anak-anak terutama bagi yang baru belajar berpuasa, sebagai ibu bapa tentu keinginan mereka cuba dipenuhi sehingga akhirnya tidak cukup tangan menjinjing plastik berisi makanan.
Tidak salah memenuhi permintaan si kecil sebagai ganjaran menjalani ibadah itu, cuma jika juadah penuh semeja dan tidak terusik selepas moreh dan akhirnya ke tong sampah, bermakna sesuatu perlu dilakukan segera.
Bukan hanya membazir makanan sedangkan di luar sana ramai saudara seagama kebuluran, bahkan kerugian juga meliputi kewangan yang sepatutnya wang tersebut boleh digunakan untuk keperluan hari raya atau belanja sekolah anak.
Sementara itu, dianggarkan sebanyak 75,000 tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan 2023, iaitu 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding bulan lain.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, Ramadan sepatutnya dijadikan sebagai bulan bermuhasabah dan mendisiplinkan diri, namun realitinya sering bertukar menjadi pesta makan dan pembaziran.
“Pembaziran bukan sahaja membazirkan sumber bahan asas, malah menyumbang kepada perubahan iklim akibat pelepasan gas rumah hijau daripada makanan yang mereput.
“Penyediaan makanan secara berlebihan menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan. Kita mahu orang ramai berhemah agar tidak membazirkan makanan yang kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat umat Islam, tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan,” katanya.
CAP turut menyeru rakyat Malaysia agar berbelanja secara berhemah sepanjang bulan ini sejajar nilai kesyukuran dan kesederhanaan yang dituntut dalam Islam.
Pengguna juga digalakkan berbelanja secara bijak, menyimpan lebihan makanan dengan betul serta menyokong program sumbangan makanan kepada golongan memerlukan.














