fbpx
PERKESO menurut Mohammed Azman, bercadang memperkenalkan SKBBK bagi memberi perlindungan 24 jam kepada pencarum termasuk di luar waktu kerja.

‘Hari ini lapor, esok pegawai kami terus ke rumah cari waris’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tuntutan palsu yang dibuat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bukan isu baharu, malah menjadi ‘barah’ dalam masyarakat apabila melibatkan beberapa pihak termasuk golongan profesional.

Meskipun penguatkuasaan dilakukan dari semasa ke semasa, namun pihak yang membuat tuntutan palsu seolah-olah tidak takut dan menjadi lebih licik menjalankan aktiviti yang boleh menggugat dana perlindungan sosial.

Bagaimanapun, dengan wujudnya Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, jumlah tuntutan palsu serta penipuan berkaitan kemalangan tidak wujud akan beri kesan penurunan mendadak.

Bersama Wartawan Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mengupas isu berkenaan.

KOSMO! AHAD: Sejauh mana seriusnya tuntutan palsu yang dibuat pada Perkeso dan sehingga kini berapa banyak kes dikaitkan dengan perkara tersebut. Apa yang pihak Perkeso lakukan bagi menanganinya?
MOHAMMED AZMAN: Perkeso tidak akan berkompromi de­ngan sebarang bentuk tuntutan palsu yang boleh menjejaskan sistem perlindungan sosial. Sejak 2 Mei tahun lalu, Perkeso bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) dalam Ops Tunjang untuk menumpaskan kartel tuntutan palsu yang cuba memperdaya sistem.

Setakat 18 Oktober lalu, 37 individu ditahan terma­suk 19 pemohon, sembilan ejen, tiga runner dan enam doktor perubatan dipercayai terlibat dalam sindiket tuntutan palsu faedah Hilang Upaya Kekal.

Jumlah kerugian akibat penipuan ini dianggarkan lebih RM2 juta. Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kes lain yang berpotensi.

Di pihak Perkeso, langkah segera diambil, salah satunya penubuhan Jawatankuasa Penilaian Keputusan Jemaah Doktor yang bertanggungjawab memastikan proses penaksiran tuntutan benar-benar telus dan adil.

Selain itu, perancangan sedang dilakukan untuk mene­rapkan sistem automasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses penilaian keilatan dan faedah hilang upaya.

Adakah perkara seumpama ini telah lama berlaku dan adakah ia sukar dikesan?
Kes tuntutan palsu bukan baharu, namun sindiket terlibat semakin licik memanipulasi sistem.

Perkeso sekian lama menjalankan pemantauan dan siasatan dalaman bagi membongkar taktik mereka termasuk menerusi penggunaan dokumen dan laporan perubatan dipalsukan.

Kegiatan sindiket se­perti ini sukar dikesan kerana mereka menggunakan modus o­perandi yang semakin kompleks, terma­suk pemalsuan dokumen dan pe­nyalahgunaan sistem sokongan perubatan.

Justeru, kerjasama erat dengan SPRM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang cuba memperdaya sistem perlindungan sosial negara.

Ramai mengatakan proses tuntutan Perkeso agak kompleks membabitkan banyak pihak termasuk pegawai perubatan profesional, doktor yang menyediakan laporan perubatan dan pegawai Perkeso sendiri. Adakah ia benar?
Bagi saya, ia tidak benar. Setiap tuntutan perlu melalui prosedur tertentu dan perlu dii­ngat ini bukan untuk menyulitkan, tetapi bagi memastikan setiap tuntutan diproses dengan ke­telusan, ketepatan, dan keadilan kepada semua pencarum.

Kini di Perkeso, hari ini lapor, esok pegawai kami akan terus ke rumah mencari waris. Jadi jika nak kata Perkeso melambatkan, mungkin maklumat tidak sampai kepada kami atau ia tidak dilaporkan. Dari segi dokumen, memang seharusnya ada beberapa dokumen wajib diperlukan, contoh jika berlaku kematian, Perkeso memerlukan sijil mati.

Kami tidak lewat dan tidak tunggu kes, tetapi pergi cari kes. Saya juga pastikan di setiap pejabat Perkeso ada Skuad Perkeso Prihatin yang bekerjasama dengan polis. Setiap hari polis akan beri maklumat kematian dan Perkeso akan semak sama ada waris mangsa layak atau tidak mendapat faedah.

Seiiring pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) tidak lama lagi, adakah wujud kebimbangan akan ada lebih banyak kes peni­puan?
Saya melihat dari perspektif berbeza kerana percaya pelaksanaan SKBBK, tuntutan palsu dapat dikurangkan kerana skim ini berfungsi memperluaskan faedah agar turut melibatkan kemalangan bukan di waktu kerja.

Jadi, tidak perlu lagi melibatkan pakatan antara majikan dan pekerja untuk memalsukan butiran kes demi memastikan pencarum layak mendapat faedah, meskipun kemalangan tidak berlaku ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau di tempat kerja.

Hal ini kerana, seperti kita tahu kemalangan membabitkan kerja atau ketika perjalanan, kesahihan pembuktiannya kadang kala sukar. Sebagai contoh, terdapat kes kemalangan perjalanan ke tempat kerja didakwa berpunca terlanggar anjing yang tiba-tiba melintas.

Macam mana kita nak buktikan kes ini? Oleh itu, banyak kes yang kita tidak pasti wujud atau tidak, namun ini tidak menjadi asas untuk kita lambatkan pe­nyaluran faedah kerana di Perkeso, semua kes dianggap sahih sehingga dibuktikan sebaliknya.

Jadi dengan adanya skim ini, walau berlaku pada bukan waktu kerja, pekerja sudah tidak perlu nak menipu. Cuma laporkan sahaja kepada Perkeso dan daripada laporan perubatan berserta salinan laporan polis, kita boleh pastikan tuntutan ada kaitan dengan kemalangan atau tidak.

Bagi saya, ia akan memudahkan Perkeso untuk membuat penilaian dan memproses kes. Sekarang banyak kes timbul kita kena siasat mendalam dan sukar kita kenal pasti jika kemala­ngan tidak wujud. Biasanya pun dapat tahu jika ada aduan. Saya positif SKBBK bakal mengurangkan banyak pe­nipuan pada masa akan datang.

TIGA individu diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pada 5 September 2024 untuk direman bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan SKBBK?
Bagi memperkukuh sistem keselamatan sosial, Perkeso bercadang menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insu­rans Pekerjaan 2017 (Akta 800). Kabinet meluluskan skim ini untuk dilaksanakan, namun masih dalam proses pindaan akta. Ini kerana berdasarkan Akta 4, perlindungan hanya meliputi bencana pekerjaan di waktu kerja.

Jika kita lihat, berdasarkan statistik sejak 2012 sebanyak 37,817 tuntutan di bawah Akta 4 ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai bencana kerja. Pada tahun lepas sahaja, 86,529 kes kemalangan dilaporkan tetapi hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja. Ini bermakna sebanyak 19,955 kes (23 peratus) tidak menerima perlindungan.

Malah, lebih malang statistik Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu me­nyaksikan 532,125 kes kemala­ngan berlaku dengan 5,364 daripada membabitkan kematian.

Bagaimanapun, berdasarkan kerangka skim sedia ada di Perkeso, hanya 35,142 kes atau 6.6 peratus termasuk 886 kematian (16.5 peratus) layak mendapat pampasan atau sokongan pemulihan. Bagi yang lain, tiada bantuan atau sokongan diterima, sebaliknya waris seakan ditinggalkan ‘tanpa bertali’ susulan pemergian insan tersayang dalam kemalangan di luar waktu kerja.

Bagi menangani isu ini, Perkeso bercadang memperkenalkan SKBBK untuk memberikan perlindungan 24 jam kepada pekerja termasuk insiden yang berlaku di luar waktu kerja.

Di peringkat awal, pelaksanaan skim ini tertumpu kepada pekerja yang berada di bawah Akta 4 sahaja, setelah dilaksana, baru kita akan perincikan untuk mungkin melibatkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

SKBBK akan menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu kerja dan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Skim ini akan merangkumi kemalangan dalam Malaysia, terma­suk kemalangan perjalanan yang tidak berkaitan kerja.

Proses tuntutan bagi skim ini hampir sama dengan Skim Bencana Kerja dengan faedah setara kepada pencarum layak. Dari segi proses pembuktian berlakunya kemalangan untuk penyaluran faedah, pencarum hanya perlu mengemukakan salinan laporan polis.

Apakah jenis-jenis tuntutan atau faedah Perkeso di bawah SKBBK?

Antara manfaat di bawah skim ini termasuk rawatan perubatan percuma di 1,407 klinik panel Perkeso di seluruh negara atau hospital kerajaan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa bagi mereka yang mengalami kecacatan serius, serta kemudahan pemulihan jasmani, vokasional, dan program Return to Work.

Selain itu, skim ini menawarkan faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat sehingga RM3,000 serta bantuan pendidikan dalam bentuk pinjaman kepada anak tanggungan pencarum yang meninggal dunia atau hilang upaya kekal.

Siapa yang dikategorikan sebagai pekerja di Bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan apakah ‘pekerja sementara’ atau ‘tidak tetap’ wajib dilindungi Perkeso?
Sesiapa yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau kontrak perantisan sama ada bertulis atau lisan layak mendapat perlindungan Perkeso. Ini termasuk warganegara Malaysia, pemastautin tetap, pemastautin sementara (kad hijau), serta pekerja asing yang sah, termasuk pekerja domestik.

Bagi sektor swasta, pekerja sementara atau tidak tetap wajib didaftarkan supaya mereka mendapat perlindungan sama seperti pekerja tetap, manakala di sektor kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pekerja kontrak dan sementara diwajib menca­rum.

Pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan, pekerja kontrak, sambilan, badan berkanun dan pekerja domestik adalah mereka yang wajib mencarum.
Pemberita sementara atau sambilan (stringer) juga wajar dilindungi ke­rana perlindungan sosial adalah hak asasi manusia.

Bagaimana dengan keseda­ran dalam kumpulan pekerja gig seperti penghantar makanan (rider) yang mencarum secara sukarela di Perkeso? Apakah langkah diambil untuk memberi kesedaran kepen­tingan mencarum sebagai perlindungan di masa kecemasan?
Sehingga 31 Disember tahun lalu, Perkeso merekodkan 883,320 orang bekerja sendiri aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Daripada jumlah ini, 322,231 orang (36.48 peratus) adalah pekerja gig se­perti penghantar makanan yang mencarum secara sukarela selaras Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Bagi menggalakkan lebih ramai pekerja gig mencarum, kerajaan memperkenalkan Program SPS Padanan Caruman menerusi Belanjawan 2025, yang mana 70 peratus daripada kadar caruman RM232.80 (bersamaan RM162.80) dibiayai kerajaan, manakala orang bekerja sendiri hanya perlu membayar 30 peratus (RM70) di bawah Pelan Caruman Kedua.

Perkeso turut menjalin kerjasama strategik dengan MOT. Pada 13 Mac tahun lalu, MOT menaja caruman penuh kepada 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah. Selain itu, MOT meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan caruman SKSPS sebagai syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu bekerja sendiri di sektor pengangkutan penumpang dan pengangkutan barangan atau makanan.

Selain itu, sesi libat urus bersama pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, penyedia platform dan badan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi memperluaskan ke­sedaran mengenai SKSPS.

Pada 4 Jun 2024, Grab Malaysia menaja caruman SKSPS kepada 264,904 rakan pemandu ­e-hailing dan penghantar ­p-hailing, membuktikan soko­ngan sektor korporat dalam memastikan pekerja gig dilindungi.

MOHAMMED AZMAN menyatakan, Perkeso sentiasa pastikan setiap tuntutan diproses dengan telus, tepat dan adil bagi setiap pencarum.

Berapa had umur untuk mencarum dan adakah kos rawatan perubatan ahli turut ditanggung Perkeso?
Bagi pekerja yang mencarum menerusi Akta 4 dan Akta 789, tiada had umur diperuntukkan. Ini bermakna selagi masih bekerja, perlindungan sosial tetap ada.
Namun, bagi Akta 800, ia terhad kepada pekerja berumur 18 hingga 60 tahun sahaja, manakala bagi Akta 838 (Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah), had umur adalah sehingga 55 tahun.

Soal kesihatan juga menjadi keutamaan. Jika seorang penca­rum mengalami bencana pekerjaan atau penyakit khidmat, Perkeso menanggung kos rawatan perubatan yang diperlukan.

Sekiranya rawatan di hospital kerajaan diperlukan, pencarum layak menerima kemudahan wad kelas kedua, tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Ada pihak yang mahu Perkeso sentiasa memperbaharui dasar dan program perlin­dungan pekerja selaras dengan perkembangan semasa. Apa pandangan Datuk Seri?
Perkeso komited ke arah menambah baik dasar dan program perlindungan sosial agar kekal relevan selaras perubahan ekonomi, teknologi, dan pola pekerjaan yang semakin dinamik.

Sebagai langkah ke hadapan, Perkeso secara berterusan mengkaji dan memperbaharui skim perlindungan termasuk memperluas liputan kepada pekerja dalam sektor informal, ekonomi gig, serta suri rumah melalui Akta 789 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).

Selain itu, skim seperti Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) ditambah baik bagi memberi sokongan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN