KEPUTUSAN muktamad jejaka bernama Hafizul Asyraf Abu Zar, 20, memilih melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan bukanlah satu perkara yang perlu disesalkan.
Bagi anak kelahiran Tiang Kulat, Kuala Nerus, Terengganu ini, dia yakin bidang kejururawatan menawarkan peluang pekerjaan yang luas dan mendapat permintaan yang tinggi dalam sektor kesihatan.
Justeru, anak sulung daripada tiga beradik itu kini melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sains Kejururawatan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu, Terengganu.
Akui Hafizul Asyraf, keputusan untuk memilih bidang kejururawatan bukanlah satu perkara yang mudah.
“Walaupun sebelum ini bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, saya akhirnya memilih untuk menjadi jururawat.
“Ia dilakukan selepas mempertimbangkan faktor peluang pekerjaan yang lebih luas baik dalam negara mahupun luar negara.
“Peluang pekerjaan dalam bidang kejururawatan sangat luas dan ini yang membuatkan saya tertarik untuk memilihnya” katanya kepada K-Kampus.

Tambahnya, kursus kejururawatan itu juga memberi peluang kepada dia untuk membantu orang ramai menjaga kesihatan.
Ujarnya, salah satu detik paling bermakna sepanjang pengajiannya adalah sokongan padu yang diterima daripada rakan-rakan sekelas.
“Kawan-kawan saya selalu ada untuk memberi sokongan ketika saya jatuh meskipun hanya empat orang sahaja rakan lelaki yang ada dalam kelas.
“Selain itu, saya juga dapat berkenalan dengan pelajar-pelajar dari seluruh negeri yang membuatkan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya yang merupakan pelajar lepasan di sebuah matrikulasi.

Namun begitu, perjalanan Hafizul Asyraf dalam bidang yang sinonim dengan wanita itu bukanlah semuanya mudah dan pernah menerima reaksi pelik.
Namun, dengan dorongan dan inspirasi daripada keluarga terdekat, jejaka ini tetap berpegang teguh dengan keputusannya.
“Saya mendapat sokongan penuh daripada seluruh ahli keluarga.
“Mereka percaya bahawa bidang ini mempunyai potensi yang besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang pelbagai,” katanya.
Hafizul Asyraf turut menasihatkan para pelajar agar tidak mudah berputus asa tidak mengira dalam apa jua bidang yang dipilih.
“Teruskan perjuangan dan sentiasa ikhlas dalam membantu orang lain.
“Jangan sesekali takut untuk memilih jalan yang berbeza jika itu yang membawa kebahagiaan dan kejayaan,” ujarnya.














