IPOH – Alatan tajam seperti parang dan pisau kini mendapat permintaan daripada penggemar aktiviti lasak seperti berkhemah dalam hutan serta mendaki gunung sejak tiga tahun lalu.
Pengusaha barangan itu, Mohamad Fikri Mohamad Ali, 34, berkata, setakat ini dia menjual sehingga 400 bilah parang dan pisau sebulan daripada mereka yang menggemari aktiviti tersebut.
Katanya, mereka bukan sahaja menggunakan parang untuk memotong lalang dan pokok renek, tetapi sebagai alat keselamatan dan pertahanan diri.
“Penggunaan parang dan pisau yang tajam amat penting untuk memudahkan aktiviti-aktiviti memotong, mengerat dan membelah pokok serta memasak di hutan berjalan lancar.
“Ini sebenarnya menjimatkan masa, tidak letih dan tertekan.
“Kebiasaannya, parang dan pisau yang berkualiti kita beli pada harga sedikit mahal mencecah ratusan ringgit boleh tahan sepanjang hidup dan kerosakan hanya bersifat minimum,” katanya ketika ditemui di premisnya di Bandar Sunway Ipoh di sini semalam.
Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ungku Omar itu yang terlibat secara sepenuh masa sejak lapan tahun lalu menghasilkan set parang dan pisau yang lengkap dengan sarung dan pemegang serta tali keselamatan.
Katanya, dia sanggup berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah kilang di bandar ini disebabkan minat dan juga tidak ramai anak muda yang berminat untuk menceburi bidang yang bersifat 3D (sukar, kotor, bahaya) itu.
“Sekiranya saya tidak lakukan, siapa lagi kerana ramai orang muda yang tidak berminat untuk melakukan kerja sebegini. Mereka lebih selesa untuk bekerja di pejabat berhawa dingin,” katanya.














