KUALA NERUS – Mimpi ngeri kembali menghantui pesara, Mohd. Yazid Idris, 66, apabila hakisan pantai yang menjejaskan banglonya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini semakin merebak sehingga meruntuhkan sebahagian tembok batu kediamannya itu kelmarin.
Dia berkata, runtuhan tembok batu berhampiran bahagian dapur banglonya yang bernilai RM600,000 tersebut berlaku pada pukul 9.40 malam.
“Fenomena ombak besar tengkujuh yang mencapai 2.8 meter muncul kembali setiap malam sejak Isnin lalu.
“Hakisan pantai sudah menghampiri kediaman saya hingga sebahagian tembok batu yang dibina sebagai pagar runtuh malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, biarpun semakin resah, dia tetap lega apabila bahagian dapur banglo yang terletak paling hampir dengan hakisan pantai tersebut masih kukuh.
“Ia banyak dibantu oleh struktur tambakan batuan besar yang dibina dengan pertolongan penduduk kampung dan sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.
“Biarpun sedih mengenangkan nasib kediaman ini yang dibina atas rasa cinta kepada arwah isteri (Siti Rashiddah Mohd. Yunos), kami sekeluarga masih belum pasrah dan tidak akan berputus asa untuk menyelamatkannya.
“Saya akan berikhtiar menstabilkan semula struktur tembok batu yang terjejas itu dalam masa terdekat,” katanya.
Mohd. Yazid percaya fenomena ombak besar yang membadai banglonya sejak Oktober 2024 bakal terakhir tidak lama lagi memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) kini sudah hampir tiba di penghujungnya.
Dia juga berdoa agar terus diberikan ketenangan dan semangat untuk menghadapi ujian besar mempertahankan banglo yang sangat bererti buat diri dan keluarganya itu.
Pada 14 Januari lalu, Kosmo! melaporkan, Mohd. Yazid bersama anak perempuan dan menantunya membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan banglo yang diancam hakisan pantai kronik.
Berita berkaitan: ‘Setiap malam tengok mahligai cinta’















