fbpx
Bakat dan kemampuan Annabella mengalunkan lagu-lagu asli Melayu mengagumkan ramai pihak.

‘Amoi Johor’ hebat syarahan BM, alun lagu asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELAS butiran kata bahasa Melayu yang dipertuturkan gadis Cina kecil molek itu saat dirinya menyapa penulis sebaik saja tiba di lokasi temu bual di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kelancaran Annabella Chua atau nama penuhnya Annabella Chua Yung Qi ‘menterjemah’ pandangan dan idea dalam bahasa kebangsaan itu mencerminkan betapa dirinya selesa bertutur Melayu.

Bahkan, kepekaannya dalam menggunakan perkataan istana seperti ‘baginda’ dan ‘santapan’ sewaktu menyentuh tentang golongan istana membuktikan bahawa dirinya memiliki ilmu dalam bahasa tersebut.

Annabella dikenali umum setelah rakamannya mendendangkan lagu Zapin Yang Tinggal nyanyian asal Ramlah Ram dalam satu persembahan di Desaru, Johor baru-baru ini menjadi tular.

Gadis yang dipanggil ‘Amoi Johor’ ini bahkan dijemput ke stesen televisyen yang tertarik dengan bakat dan kemampuannya mengalunkan lagu-lagu asli Melayu.

Rupa-rupanya gadis ini memang sudah dikenali di Johor terutama di daerah Kota Tinggi dan sering menyanyi pada majlis diraja.

Bahkan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab itu yang meraih A bagi subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah diketahui atas pencapaiannya dalam bidang akademik dan pernah memenangi pelbagai anugerah menerusi pertandingan-pertandingan berbahasa Melayu seperti syarahan dan bercerita.

Menurut gadis berusia 24 tahun itu, pengalaman dibesarkan pembantu rumah dari Indonesia sewaktu membesar membuatkannya selesa berbahasa Melayu biarpun dihantar ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) iaitu SJK(C) Pei Hwa.

“Ibu bapa saya tidak fasih berbahasa Melayu tetapi kami bertutur dalam bahasa Melayu dengan bibik sekali gus menyebabkan saya terbiasa dengan bahasa tersebut.

“Walaupun bercampur-campur bahasa Melayu versi Indonesia dengan Malaysia, tetapi ia membuatkan saya tidak kekok berbahasa Melayu apabila berhadapan dengan masyarakat.

“Ini membuka peluang kepada saya untuk menonjol dalam pertandingan-pertandingan bahasa Melayu ketika di sekolah sehingga dihantar mewakili sekolah ke peringkat daerah Kota Tinggi,” katanya kepada K-Remaja.

Di peringkat sekolah rendah sahaja, Annabella sudah muncul johan pertandingan bercerita dan syarahan bahasa Melayu peringkat negeri bagi kategori sekolah Cina dan sekolah Tamil pada tahun 2011 dan 2012.

Tidak terhenti di situ sahaja, gadis berkenaan turut mencipta rekod membanggakan pada usia 11 tahun apabila muncul juara pertandingan bercerita anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan bertemu Annabella semasa ulang tahun keputeraan baginda sewaktu menjadi Sultan Johor pada tahun 2016.

Pertandingan yang disertai wakil lebih 80 buah sekolah dari seluruh Johor tersebut turut melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah kebangsaan yang majoritinya pelajar Melayu.

Mengimbau kembali kenangan manis tersebut, Annabella akui semuanya berkat seorang guru bahasa Melayu dari Kuala Lumpur yang sanggup meluangkan masa mendidiknya sehingga dia fasih dalam penyampaian bahasa Melayu.

“Untuk pertandingan bercerita dan syarahan, Pejabat Pendidikan Daerah upah cikgu khas yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk ajar saya cara sebutan yang betul dan jelas.

“Dua atau tiga kali seminggu, saya akan habiskan selama 15 minit hingga 20 minit masa perjalanan untuk ke rumah cikgu Kamilaton di Johor untuk menuntut ilmu dengan beliau.

“Beliau sangat bagus dan tegur saya sekiranya saya sebut salah dan ajar saya cara pergerakan lidah agar sebutan saya tepat dan tidak pelat,” katanya.

Bakat nyanyiannya pula mula dicungkil sebaik saja dia melanjutkan persekolahan di peringkat sekolah menengah iaitu di SMK Tun Habab.

Memandangkan kakaknya pernah bergelar penyanyi sekolah tersebut, gurunya, Ku Sunira teruja untuk melatihnya agar legasi kakaknya dapat diteruskan.

Bertitik tolak daripada situ, Annabella terus mengasah bakatnya dalam seni suara apabila dihantar bertanding untuk lagu-lagu patriotik peringkat daerah dan dirinya muncul sebagai juara.

Setelah menempa nama di peringkat daerah, bakat nyanyiannya diteruskan ke peringkat negeri dan menyaksikannya berpeluang untuk bertanding menentang pelajar-pelajar sekolah seni di Johor.

Kejayaannya mengalahkan pelajar sekolah seni itu menyebabkan Annabella yang pada ketika itu berusia 15 tahun dihantar ke Sarawak untuk menyertai kem muzik peringkat kebangsaan.

Kejayaan demi kejayaannya itu memberi keyakinan kepada Pejabat Daerah Kota Tinggi untuk menampilkannya sebagai salah seorang penyanyi ketika lawatan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah

Almarhum Sultan Idris Shah (kini Raja Permaisuri Agong) ke Kota Tinggi pada tahun 2016.

Katanya, bermula dari situ, rezekinya untuk terus membuat persembahan di majlis melibatkan golongan istana diraja Johor hadir satu per satu sekali gus membuatkannya dikenali sebagai penyanyi di negeri selatan tanah air itu.

“Sebenarnya saya pernah buat persembahan di hadapan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman pada malam acara penutupan kejohanan golf sekitar 2015. Namun ketika itu, saya masih belum menonjol sehinggalah saya membuat persembahan solo di hadapan Tuanku Permaisuri Johor ketika kunjungan baginda ke Kota Tinggi pada tahun seterusnya.

“Kemudian, saya diberi penghormatan untuk membuat persembahan di Hari Keputeraan Sultan Johor, Kembara Mahkota Johor dan majlis di Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ),” katanya.

Sejak dari itu, dirinya kerap menerima jemputan menyanyi lagu Melayu di peringkat Johor biarpun sedang aktif menempa nama sebagai penyanyi dan pelakon berbahasa Mandarin di peringkat antarabangsa.

Pada usia 17 tahun, Annabella pernah menyanyikan lagu Datuk Sheila Majid berjudul Lagenda ketika membuat persembahan di program realiti tempatan The Voice yang disiarkan di Astro AEC.

Persembahan bersama Gary Chow, ahli juri dari Malaysia itu memukau juri-juri lain termasuk Bella Ding Dang (China), Hanjin Tan (Singapura) dan Sky Wu (Taiwan).

Annabella sempat bertanding di pertandingan nyanyian Sing di China sebelum perjalanan muziknya terhenti seketika setelah Covid-19 melanda.

Kemudian dia meneruskan pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mengulas berkenaan minatnya terhadap penyanyi-penyanyi Melayu, graduan dengan keputusan kelas pertama tersebut memilih Ernie Zakri dan Dayang Nurfaizah sebagai idolanya.

“Saya minat kak Ernie kerana dia mampu berkarya sendiri, manakala kak Dayang pula sangat verstil dan mampu bawa lagu pelbagai genre.

“Saya banyak dengar lagu-lagu bahasa Melayu yang trending dan menyanyinya seperti biasa tapi saya tidak rakam video dan muat naik dekat media sosial,” katanya.

Disoal mengenai penerimaan orang ramai terhadap kebolehannya berbahasa Melayu dengan lancar, Annabella mendedahkan bahawa rakan-rakannya berbangsa Cina turut terkejut.

Perkara itu kerana dia jarang bertutur dalam bahasa Melayu sepanjang berada dalam kelompok industri muzik berbahasa Cina sekali gus membuatkan mereka mengagumi bakat terpendamnya itu.

“Sebenarnya saya hanya persembahkan lagu-lagu Melayu mengikut permintaan pelanggan yang menjemput saya.

“Selepas ini, saya berharap akan diberi peluang untuk memiliki lagu berbahasa Melayu serta berlakon dalam filem atau drama Melayu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN