fbpx
LAFAZ taklik rasmi diucapkan oleh suami usai akad nikah seperti ditetapkan Majlis Agama Islam. – GAMBAR HIASAN

Menyesal bercerai akibat lafaz taklik pelik-pelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Ada pasangan yang sesuka hati mencipta taklik tambahan yang pelik serta tidak masuk akal sehingga memakan diri sendiri apabila rumah tangga mereka runtuh dan berakhir dengan penyesalan.

Antara taklik sendiri dicipta seperti, ‘jika kau pergi ke sana, maka jatuh talak’, ‘jika kau hubungi ibu, maka jatuh talak’, ‘kalau kamu jumpa dia, jatuh talak’ dan ‘jika wujud 29 Februari tahun ini maka jatuh talak’.

Peguam Syarie dan Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, taklik adalah perjanjian yang dilafazkan suami sama ada sebaik sahaja selesai akad nikah atau ketika dalam tempoh perkahwinan.

Menurutnya, lafaz taklik bermaksud lafaz cerai yang dikaitkan dengan sesuatu janji yang telah dibuat suami selepas akad nikah disempurnakan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat taklik tambahan selain taklik rasmi yang ditetapkan Majlis Agama Islam.

“Secara umumnya, taklik tambahan dibuat secara lisan berdasarkan persetujuan bersama antara suami dan isteri, mengikut kehendak atau permintaan mereka. Persetujuan ini kemudian boleh direkodkan sebagai bukti kewujudannya.

“Taklik tambahan masih boleh dikuat kuasakan menurut hukum syarak, asalkan memenu­hi syarat sah taklik dan didaftarkan di hadapan pihak berautoriti seperti pegawai agama,” katanya kepada Kosmo! Ahad.Menurutnya, walaupun amalan itu telah lama wujud, ia tidak begitu meluas atau diketahui umum melainkan lafaz taklik yang dibuat oleh suami ketika tempoh pernikahan.

Katanya, kebiasaannya taklik tambahan dicipta si suami untuk membeli kepercayaan terhadap pasangan selain memberi perlindungan tambahan kepada pasangan dalam perkara yang tidak termasuk dalam taklik rasmi.

Muhammad Hariz

“Oleh itu, perbincangan mengenai taklik tambahan memerlukan persefahaman yang jelas serta menggalakkan sikap tolak ansur dalam perkahwinan bagi menjamin kesejahteraan kedua-dua pihak,” katanya.

Katanya, taklik talak adalah perjanjian bersyarat yang dilafazkan oleh suami dan pelanggaran syarat tersebut oleh si isteri boleh menyebabkan jatuhnya talak.

Menurut pandangan majoriti ulama, setelah taklik dilafazkan, ia tidak boleh ditarik balik.

“Ini kerana taklik dianggap sebagai sebahagian daripada konsep talak itu sendiri. Namun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama,” katanya.

Menurutnya, Mazhab Hanbali misalnya membenarkan penarikan balik lafaz taklik, manakala Imam Ibn Taimiyyah pula berpendapat penarikan balik taklik dibenarkan jika ia berkaitan ­dengan akad mua’wadhah (akad pertukaran).

“Contohnya jika suami ber­kata, ‘sekiranya awak berikan saya seribu, maka awak akan tertalak’. Dalam situasi ini, suami­ berhak menarik balik taklik selagi­ isteri belum memenuhi syarat tersebut.

“Oleh itu, jika isteri telah me­langgar syarat taklik, suami tidak boleh menarik balik taklik tersebut kerana talak berkemung­kinan telah berlaku. Keputusan muktamad bergantung kepada pengesahan di Mahkamah Syariah,” katanya.

Kata Muhammad Hariz, jika suami isteri pula ingkar untuk memberi kerjasama hadir ke mahkamah bagi memberi kete­rangan di hadapan hakim syarie, maka waran tangkap akan dikeluarkan.

“Sesungguhnya lafaz taklik apabila dibuat, ia tidak akan boleh ditarik semula selama-lamanya sehingga lafaz tersebut dilanggar.

“Ingat, Islam mengangkat martabat dan menghormati peranan isteri dalam rumah tangga, maka hargai isteri sebaiknya.

“Dalam hal perceraian, hatta niat berseloroh ketika melafazkan lafaz taklik, ia akan mengikat sehingga syarat tersebut dilanggar, seterusnya disahkan di mahkamah syariah,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, ­Kos­mo!­ melaporkan pelakon dan pelawak Along Cham memaklumkan akan memfailkan lafaz ­cerai taklik terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Katanya, tindakan itu diambil selepas mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi, 32, sudah me langgar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini.

Pada 5 September 2024, bekas isteri pengarah filem, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar didakwa melanggar lafaz taklik sebanyak lima kali, menyebabkan rumah tangga pasangan kontroversi itu berakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN