fbpx
PMKS Malaysia dapat memanfaatkan peluang untuk meningkatkan daya saing dan mengembangkan jenama ke peringkat global seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi. - Gambar hiasan

Pengerusi ASEAN: Peluang emas PKS ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDUDUKAN Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bukan sahaja memperkukuh peranan negara dalam arena serantau, malah memberi kelebihan buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk berkembang ke negara jiran.

Dengan strategi yang betul, PMKS Malaysia dapat memanfaatkan peluang untuk meningkatkan daya saing dan mengembangkan jenama ke peringkat global seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi.

Menurut Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk William Ng berkata, 2025 mampu menjadi tahun penting bagi ASEAN dan PMKS di rantau ini khususnya dalam merangka piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mempromosi kerjasama ekonomi digital.

“Malaysia mempunyai peluang yang berlaku sekali dalam sedekad untuk memberi kepimpinan bagi memastikan ASEAN terus komited bagi pemerkasaan PMKS,” katanya.

Tinjauan yang dilakukan Ninja Van dengan kerjasama firma penyelidikan pasaran, Milieu Insight November lalu mendapati orang Asia Tenggara gemar membeli dari negara jiran mereka.

Kajian membabitkan 1,200 responden dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina itu menunjukkan selain rakyat Indonesia, pembeli di Asia Tenggara secara amnya mempunyai pendapat baik terhadap jenama dari negara jiran dan menunjukkan peluang tinggi untuk membeli.

Jenama Malaysia dilihat menonjol sebagai pilihan yang dipercayai dalam kalangan pembeli e-dagang di Asia Tenggara. Sementara itu, kategori membeli-belah rentas sempadan paling popular adalah barangan Fesyen & Aksesori (68 peratus), Makanan & Minuman (47 peratus), dan Kesihatan & Kecantikan (46 peratus).

Susulan tinjauan itu, Ninja Van menerbitkan e-panduan untuk membantu perniagaan Malaysia menembusi pasaran landskap e-dagang.

Ia menyediakan bimbingan langkah demi langkah dan tips untuk membimbing PKS di negara ini dalam memilih negara yang paling sesuai untuk mengembangkan pasaran.

Ketua Rentas Sempadan di Ninja Van Malaysia, Denise Wong memaklumkan, kajian tersebut menunjukkan kelebihan daya saing yang dimiliki perniagaan yang berpusat di Malaysia dalam pasaran e-dagang Asia Tenggara.

“Dengan kehadiran jenama Malaysia yang kukuh dan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, perniagaan tempatan berada dalam posisi yang ideal untuk memanfaatkan rangkaian logistik negara ini bagi pengembangan merentas sempadan yang lancar ke pasaran jiran,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dalam konteks eksport ke ASEAN, PMKS seharusnya memanfaatkan pelbagai Perjanjian Perdagangan

Bebas dengan negara-negara ASEAN, serta antara ASEAN dan wilayah ekonomi lain, seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

“PMKS perlu mendapat manfaat daripada jangkaan nilai ekonomi berjumlah AS$2 trilion (RM8.9 trilion) dijana daripada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital menjelang 2030,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN