KEMAMAN – Fenomena air pasang besar musim tengkujuh yang melanda sejak pertengahan bulan lalu memberi kesan terhadap Pantai Teluk Mak Nik di sini yang mengalami hakisan
teruk.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati puluhan pokok rhu yang terdapat di pesisir pantai peranginan terkenal itu tumbang dibadai ombak besar sehingga kelmarin.
Masalah hakisan itu melibatkan kawasan pesisir Pantai Teluk Mak Nik sejauh kira-kira satu kilometer sehingga ke Pantai Geliga di sini.
Seorang pengunjung, Zizi Izyani Zainal Abidin, 29, terkejut melihat masalah hakisan yang semakin meruncing di pantai peranginan tersebut.
“Saya sekeluarga pernah beriadah di Pantai Teluk Mak Nik beberapa tahun sebelum ini, namun kini keindahannya semakin pudar akibat isu hakisan.
“Banyak pokok rhu yang mengindahkan landskap pantai tersebut sebelum ini telah tumbang dan mencacatkan pemandangan,” katanya di sini semalam.
Seorang peniaga yang mahu dikenali Suhaila, 34, berkata, hakisan pantai itu mungkin akan menjejaskan pendaratan penyu dengan Pantai Teluk Mak Nik.
Katanya, lokasi itu merupakan antara kawasan utama pendaratan penyu untuk bertelur di antara bulan Mac hingga Ogos setiap tahun.
“Sekiranya hakisan pantai tersebut tidak ditangani sebaiknya, saya risau penyu tidak akan lagi naik mendarat sekali gus menghilangkan daya tarikan pantai peranginan ini.
“Sekarang ini pun perniagaan minuman dan makanan saya agak terjejas disebabkan kekurangan pengunjung ekoran masalah hakisan berkenaan,” katanya.
Shamsudin Alias, 65, yang menetap di Kampung Geliga berhampiran berkata, isu hakisan terutama pada musim tengkujuh di Pantai Teluk Mak Nik bukan perkara baharu, malah semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
“Dua rumah penduduk di Kampung Geliga berhampiran juga roboh dipukul ombak besar baru-baru ini,” katanya.














