Rakyat Malaysia umumnya memang sukakan cuti. Malah, Malaysia juga dianggap sebagai salah satu negara dengan jumlah cuti umum yang banyak jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Alasannya cukup jelas. Malaysia mempunyai cuti umum kebangsaan dan cuti umum negeri, selain cuti khas yang berbeza mengikut budaya, agama dan tradisi. Ini tidak termasuk cuti peristiwa yang diberikan oleh pemerintah.
Secara ringkasnya, ada 13 cuti umum kebangsaan dan jika ditambah dengan cuti-cuti di peringkat negeri, maka jumlah keseluruhan cuti di Malaysia adalah antara 18 hingga 22 hari dalam setahun.
Jumlah cuti tersebut bagaimanapun belum mengambil kira cuti persekolahan. Jika merujuk kepada takwim persekolahan setiap tahun, murid-murid akan diberikan cuti antara lapan hingga sembilan minggu sepanjang tahun.
Ironinya, cuti adalah hari yang paling dinantikan oleh rakyat. Dan data yang diperoleh sehingga suku ketiga tahun lalu menunjukkan sejumlah 193.3 juta pelawat domestik telah direkodkan.
Jumlah yang dibelanjakan oleh kesemua pelawat itu pula mencecah lebih RM77 bilion.
Dalam kehidupan yang sangat sibuk, bercuti mungkin dianggap sebagai penawar ataupun ubat bagi menghilangkan segala tekanan. Tidak kira ia satu percutian mewah atau biasa, panjang atau singkat, bercuti sudah cukup memberikan rasa ketenangan.
Bagi sesetengah orang, bercuti adalah keperluan untuk menjaga kesihatan fizikal, mental, dan emosi. Lebih daripada itu, ia adalah satu cara untuk memberi peluang kepada diri kita berehat dan keluar daripada rutin harian.
Menikmati keindahan alam seperti aktiviti hiking dan camping adalah antara cara terbaharu bagi aktiviti percutian di Malaysia. Trend percutian ini juga sangat popular dalam kalangan anak muda.
Selain itu, ada juga individu yang suka menjelajah ke tempat baharu. Percutian ini biasanya memerlukan kita melancong ke satu-satu kawasan. Tidak kira terletak di luar negara mahupun dalam negara, percutian jenis ini memberikan satu kepuasan yang tersendiri.
Bagi mereka yang inginkan keselesaan tanpa terlalu memikirkan soal lokasi dan masa, percutian dengan sekadar meluangkan masa bersama orang tersayang sudah cukup menghilangkan segala tekanan.
Golongan seperti ini lebih mementingkan privasi. Mereka biasanya akan habiskan masa di rumah sambil menikmati masa rehat yang secukupnya.
Apa yang penting adalah persediaan diri. Pilih destinasi yang sesuai dengan bajet dan masa kita.
Kadangkala, kita sering terlupa bahawa banyak masa kita telah dihabiskan dengan orang luar berbanding keluarga sendiri. Kita terlalu sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah berakhir.
Mungkin sudah sampai masanya kita memikirkan sesuatu. Mencari peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Keluarlah bercuti walaupun sekejap kerana ia adalah peluang yang tidak selalu ada.
Bercuti itu juga bukan simbol kepada kemewahan, tetapi satu keperluan untuk kita menghargai diri. Tidak perlu terlalu berlebih-lebih, kerana setiap daripada kita mempunyai hak untuk merasa bahagia.














