SETIU – Kebimbangan penduduk Kampung Payong di sini, tentang ancaman seekor gajah berakhir apabila haiwan liar tersebut berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.
Gajah jantan dewasa itu berjaya ditangkap pada pukul 4.30 petang kira-kira 24 jam selepas mendapat aduan penduduk kampung.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, haiwan dilindungi itu berjaya dijumpai sebelum ditangkap berhampiran sebuah kebun getah milik penduduk.
“Gajah tersebut dilaporkan dijumpai penduduk tersesat masuk ke perkampungan terbabit.
“Gerakan mencari telah berjaya menemui haiwan liar berkenaan dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kean Seong berkata, tangkapan terbabit merupakan yang pertama melibatkan mamalia itu di Terengganu pada tahun ini.
Beliau berkata, haiwan berkenaan akan dilepaskan ke hutan berhampiran yang merupakan habitat asalnya pada masa terdekat.
Sementara itu, seorang penduduk, Rahman Harun, 53, lega gajah yang menjadi ancaman penduduk sebelum ini sudah berjaya ditangkap.
“Alhamdulillah dengan penangkapan gajah ini kami tidak perlu bimbang lagi ancaman keselamatan dan juga tanaman,” katanya.














