SETIAP kali memasuki tahun baharu, pasti ada dalam kalangan kita yang teruja dengan azam baharu.
Untuk mencapai sesuatu azam itu, kita perlu berusaha termasuk membuat checklist bagi mengelak tergelincir seperti tahun-tahun sebelumnya.
Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, setiap azam memerlukan perancangan bukannya kata-kata motivasi yang memaksa untuk mencapai sesuatu impian yang diinginkan.
“Ada individu yang buat perancangan besar-besaran dan melaksanakannya tanpa perancangan umpama ‘genggam bara api sampai jadi arang’.
“Ada yang buat perancangan secara beransur-ansur seperti kata pepatah ‘sehari selembar benang-benang, lama-lama menjadi kain’.
“Ada juga yang tidak membuat azam pada awal tahun baharu, tapi mereka merancang setiap bulan, minggu, malah hari untuk matlamat yang lebih kecil. Yang pastinya, semua ini memerlukan perancangan,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, azam adalah sesuatu yang realistik dan memerlukan matlamat S.M.A.R.T dalam mencapai sasaran tersebut.
“Huruf ‘S’ merujuk specific (tertentu), ‘M’ measureable (boleh-ukur), ‘A’ achievable but moderately difficult (boleh-capai tapi sedikit sukar), ‘R’ pula relevant (berkaitan), manakala ‘T’ time-bound (mempunyai had masa).
“Bagi orang Islam, saya cadangkan matlamat S.M.A.R.T.E.S.T. Tambahan E.S.T itu merujuk Ethical (berasaskan akhlak Islam yang terpuji), Shariah-compliant (patuh syariah.
“Selain itu Tauhid-driven (berpandukan akidah tauhid mengesakan Allah dan menjauhi syirik, khurafat dan takhayul sama ada jelas atau tersembunyi),” katanya.
Menurut beliau, apa jua azam sama ada mahu menurunkan berat badan, menjadi kaya atau menjaga penampilan diri, maka ia perlu mempunyai ciri-ciri S.M.A.R.T.E.S.T.
“Misalnya, azam untuk turunkan berat 12 kilogram dalam setahun dengan strategi pemakanan dan senaman seperti briswalk.
“Azam ini berbentuk spesifik (strategi pemakanan dan senaman), boleh ukur (guna alat pemberat), boleh capai (tidak drastik), berkait (ukuran kilogram berkait dengan berat badan) dan dihadkan oleh masa.
“Dari segi etika, boleh ditambah dengan menjaga adab makan, senaman dan cara interaksi dengan orang lain (sama ada yang membantu atau mengutuk) dalam proses turunkan berat,” ujarnya.
Dari sudut syariah, ia boleh dilaksanakan dengan tidak memakan atau meminum perkara yang haram atau memudaratkan kesihatan, manakala sudut akidah tauhid pula adalah dengan menyedari bahawa Allah berilmu, berkuasa dan berkehendak untuk mengabulkan doa selepas berusaha keras.
Bagi penulis, azam adalah sesuatu kemahuan atau keinginan yang tidak mengenal waktu dan dan juga tempat.
Oleh itu, pepatah ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ membawa erti yang sangat besar untuk kita bersama-sama berusaha keras untuk mencapai sesuatu kejayaan yang direalisasikan menerusi azam.














