PEREBEZAAN antara kedua-dua spesies ini ialah nama saintifik untuk Nile Perch ialah Lates niloticus, manakala untuk siakap putih pula ialah Lates calcarifer.
Satu lagi ialah jarak taburan populasinya yang begitu jauh. Nile Perch habitatnya di perairan air tawar di Afrika, manakala siakap putih pula ialah di kawasan muara, pesisir pantai dan sungai negara kita serta rantau sekitar seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Indo-China dan Australia.
Gergasi air tawar Afrika
Nama umum ikan ini ialah Nile Perch, ia turut dikenali sebagai African Perch, Victoria Perch atau African Barramundi. Dalam bahasa Hausa ikan ini digelar ‘giwan ruwa’ yang bermaksud ‘gajah air’.
Habitat utama ikan Nile Perch ialah sistem sungai dan tasik utama di Afrika, termasuklah Tasik Victoria, Tasik Albert, Tasik Turkana, Sungai Nil, Sungai Niger, Sungai Congo, Sungai Senegal dan Sungai Volta.
Nile Perch mendiami perairan air tawar seperti di sungai berarus deras, kolam yang dalam, hingga tasik besar.
Ikan dewasa lebih memilih kawasan air yang dalam, berstruktur batu dan berarus deras, manakala ikan juvenil gemar kawasan cetek berumpair dan bersamai.

Satu fakta yang menarik, ikan ini mampu hidup di dalam kondisi air yang berarus sangat deras dan beroksigen tinggi seperti kawasan bawah air terjun.
Ia merupakan satu perkara yang jarang ikan air tawar saiz besar mampu lakukan.
Ciri-ciri fizikal Nile Perch ialah badannya yang panjang, lebar dan tegap dengan profil kepalanya yang besar dan bermulut luas.
Rahangnya kuat dipenuhi gigi yang halus dan tajam. Sirip dorsal terbahagi dua iaitu ciri tipikal ikan genus Lates.
Warna badannya perak keabu-abuan hingga kehijauan di sebelah atas badannya dengan perutnya keputihan.
Ikan Nile Perch direkodkan boleh membesar lebih dari 200 kilogram (kg) dengan panjang melebihi 2 meter (m). Saiz yang lazim ditangkap pemancing adalah antara 20 hingga 80 kilogram (kg).
Pancing dan IGFA
Peralatan memancing yang disyorkan untuk ikan Nile Perch ialah set pancing kelas heavy hingga extra heavy dengan penggunaan tali utama antara 80 hingga 100 paun (lb) dan perambut antara 80 hingga 150lb.

Teknik pancingan yang biasa dipraktikkan untuk ikan ini ialah berhanyut umpan ikan hidup, mengilat gewang crankbait, swimbait atau soft plastic shad saiz besar dan trolling gewang selaman dalam.
Rekod Dunia All Tackle International Gamefish Association (IGFA) untuk ikan Nile Perch ini ialah seberat 104.32kg (230 lbs 0 oz) oleh William Toth pada 20 Disember 2000 di Tasik Nasser Mesir.
Sementara itu, rekod dunia IGFA untuk ikan Nile Perch terpanjang, 146 sentimeter (sm) milik pemancing negara kita, iaitu penulis artikel utama minggu ini, saudara Christopher S.G. Tan ditangkap di Murchison Falls, Uganda pada 7 Ogos 2019 (gambar muka depan).
Nile Perch bukan sekadar ikan bersaiz monster, ia adalah simbol, kekuatan dan keagungan pancingan di Afrika.
Bagi pemancing, menewaskannya bukan sekadar soal teknik, tetapi keberanian berhadapan dengan alam liar dalam bentuk yang paling ekstrem.















