fbpx
PARA pelajar juga didedahkan dengan ilmu keselamatan di dalam air.

800 pelajar sekolah teruja belajar ilmu keselamatan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH 800 pelajar di sekitar daerah Pasir Puteh, Kelantan berpeluang melakukan aktiviti di luar bilik darjah menerusi pemerhatian dan amali berkaitan keselamatan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai baru-baru ini.

Program tersebut adalah hasil tajaan Hibiscus Petroleum dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Antara agensi terlibat menyediakan informasi, maklumat dan demonstrasi ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Angkatan

Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Klinik Kesihatan Pasir Puteh.

Program itu turut disertai oleh pelajar dari sekolah menengah berhampiran, selain murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, SK Dalam Rhu, SK Seri Aman, SK Pasir Puteh, SK Kamil 1 dan SK Kamil 2.

Menurut Pengurus Hibiscus Petroleum Tok Bali, Ramlee Patta, program itu kali kedua diadakan menerusi agenda amal korporat kepada pelajar di sekitar Pasir Puteh.

“Pihak syarikat menyediakan sijil penyertaan kepada pelajar yang mewakili sekolah masing-masing. Ia bagi membolehkan mereka mendapatkan mata ganjaran atau markah penilaian aktiviti kokurikulum,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Sungai Petai, Muhamad Fahri Nishizairil, 16, memaklumkan, kaedah mengawal dan memadam kebakaran yang ditunjukkan oleh anggota bomba adalah ilmu yang sangat berguna sebagai persediaan berdepan kebakaran.

Menurutnya, ilmu seumpama itu tidak diajar dalam bilik darjah dan tiada dalam buku teks.

“Inilah peluang untuk meneroka ilmu baharu menerusi kaedah sebenar yang diajar oleh pakar dalam bidang berkenaan.

“Ia adalah ilmu yang perlu diketahui untuk dipraktikkan dalam kehidupan,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Menurut Muhamad Fahri, kebakaran peringkat awal dapat dikawal sekiranya kaedah dan teknik yang betul dilakukan.

“Saya teruja apabila terpilih mencuba kaedah memadam kebakaran akibat kebocoran paip gas di dapur dengan menggunakan ibu jari.

SERAMAI 800 pelajar di sekitar daerah Pasir Puteh menyertai program berkaitan keselamatan diri di SMK Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan.

“Itu adalah pengalaman pertama saya berbuat demikian, dan ia amat berharga.

“Banyak lagi kaedah yang boleh digunakan mengikut situasi kebakaran yang tidak ada dalam buku teks di sekolah. Saya bukan saja dapat melihat demonstrasi, malah berpeluang mencubanya,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Azara Alisa Zul Azmi, 17, berkata, dia amat tertarik dengan pendedahan berkaitan pengendalian haiwan berbisa terutama ular oleh pasukan APM.

Menurutnya, pelajar turut didedahkan dengan cara mengendalikan ular tidak berbisa seperti ular sawa yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa.

“Banyak ilmu pengetahuan baharu yang kami perolehi, walaupun program ini diadakan dalam masa terhad.

“Paling seronok pastinya peluang meninjau ke dalam kereta peronda polis, dan melihat motosikal berkuasa besar yang digunakan oleh anggota polis trafik,” katanya.

Menurut Azara Alisa, program yang membabitkan kolaborasi pelbagai agensi itu perlu diadakan lagi pada masa akan datang.

Ujarnya, hal ini kerana program itu merupakan salah satu aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah yang sangat menyeronokkan.

“Kami bukan saja dapat belajar menerusi pemerhatian, malah melihat bahan sebenar (benda maujud) digunakan supaya mudah faham dan tidak membosankan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhamad Amir Afkar Mohd. Syaiful Izwan, 16, berkata, para pelajar juga didedahkan dengan bahaya dan bahana penyalahgunaan dadah di gerai pemeran AADK.

“Kami mendapat penerangan secara terperinci berkaitan penagihan dadah, dan kesannya terhadap keselamatan diri serta komuniti.

“Kami juga melihat dan mengenali jenis-jenis dadah yang sebelum ini tidak pernah dilihat.

“Paling menarik, kami berpeluang melihat dadah dalam bentuk pil atau ubat. Ia penting supaya kami tidak mencubanya sekiranya ditemui di mana-mana,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN