PETALING JAYA – Golongan pengasuh digalakkan untuk menjalani latihan serta kursus bagi meningkatkan kemahiran penjagaan bayi dan kanak-kanak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Pengerusi Persatuan Pengasuh dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah berkata, kursus sedemikian penting diambil oleh pengasuh tidak kira di taman asuhan kanak-kanak (taska) atau mereka yang menjaga kanak-kanak di rumah.
Beliau berkata, kursus atau latihan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya boleh membantu pengasuh mendapatkan kemahiran sewajarnya yang diperlukan dalam menjaga bayi mahupun kanak-kanak.
Kebiasaannya ibu bapa memilih sama ada menghantar anak-anak ke taska atau pengasuh di rumah bergantung kepada jarak lokasi taska atau rumah pengasuh dengan kediaman mereka sendiri atau mana yang lebih bersesuaian dengan kemudahan mereka.
“Ibu bapa juga perlu celik undang-undang di mana mereka perlu tahu pengasuh ini sepatutnya perlu ada latihan sebelum mereka menggalas tugas menjaga kanak-kanak sementara ibu bapa bekerja.
“Daripada latihan dan kursus itulah, pengasuh juga tahu mengenai Akta Kanak-Kanak sedia ada, skil seperti pertolongan cemas, cara memandikan budak dengan selamat dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Selain itu, jelasnya, golongan ibu bapa juga seharusnya cakna bahawa pengasuh di rumah juga perlu berdaftar di bawah JKM sebelum menghantar anak-anak mereka di rumah pengasuh.
“Apabila ibu bapa mahu menghantar anak ke mana-mana pengasuh, mereka juga kena perhatikan bagaimana keadaan rumah pengasuh berkenaan selain tingkah laku mereka sebelum membuat keputusan untuk pengasuh itu menjaga anak mereka.
“Selain itu, wujudnya pengasuh-pengasuh atau taska tidak berdaftar di bawah JKM juga berpunca daripada sikap sesetengah masyarakat yang tidak mengambil cakna mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, pengusaha taska mahupun pengasuh di rumah juga perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mendaftar dan mendapatkan latihan sebelum menerima kanak-kanak untuk diasuh di premis masing-masing.
“Tidak kira pengusaha di taska atau di rumah sendiri, perlu ada kesedaran bahawa kursus dan latihan itu penting bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti penderaan, kecuaian dan pengabaian anak-anak asuhan.
“Jangan berfikiran kita boleh jaga anak kita, jadi kita boleh jaga anak orang lain. Perlu ada inisiatif untuk mendapatkan latihan yang sepatutnya,” katanya.















