PERTEMUAN dengan wanita hebat ini tidak kesampaian apabila dia tidak berada di Malaysia dan mempunyai urusan kerja di China selama seminggu.
Pun begitu, dalam kesibukan dan urusan yang tertera dalam jadualnya, sedikit masa diluangkan kepada penulis secara pertemuan maya Zoom.
Merupakan wanita pertama dilantik menjadi dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim juga antara kelompok kecil ahli akademik di Malaysia yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dengan kemahiran dalam bahasa Perancis.
Ditanya bagaimana dia boleh menceburi bidang bahasa dan akhirnya membawa kepada jawatan yang disandangnya itu, Hazlina mengatakan ia terpupuk sejak di bangku sekolah.
“Saya dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 2 dan Sekolah Menengah Zainab, Kota Bharu.
“Saya memang berminat dengan bahasa asing sedari kecil. Semasa di tingkatan 4, ada wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) datang ke sekolah memberikan sedikit taklimat tentang rancangan bersama untuk pelajar yang berminat menyambung pelajaran ke luar negara yang turut melibatkan persediaan setahun mempelajari asas bahasa asing antaranya Perancis.
“Di situ, tercetus minat dan iltizam saya untuk ke Perancis dan kemudian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya berjaya mendapat tawaran tajaan biasiswa ke Perancis untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di University of Littoral, Dunkerque, Perancis
“Sekembali ke Malaysia, saya bekerja di beberapa syarikat Perancis sebagai eksekutif pengiklanan dan eksekutif pemasaran selama lima tahun sebelum mula bekerja dengan UPM pada tahun 2003,” katanya panjang lebar bersama Aura.
Meneruskan perkongsian, Hazlina ketika di UPM menerima tawaran sebagai guru bahasa Perancis dan berkhidmat selama sedekad sebelum nekad menyambung pengajian hingga mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) dan bertukar jawatan kepada pensyarah dan pensyarah kanan.
Hazlina telah meraih Sarjana Bahasa Moden dari Universiti Malaya, PhD Bahasa Melayu dari UPM diikuti Post- doctoral (Linguistik) dari Institut des Langues et Civilisations Orientales, Perancis (2014).
Dia kemudian dilantik menjadi Ketua Jabatan Bahasa Asing selama tiga tahun (bermula 2016) dan kemudiannya menyandang jawatan Timbalan Dekan (Siswazah dan Antarabangsa) sebelum dilantik sebagai Dekan (Siswazah dan Antarabangsa) pada 2021 diikuti Dekan FBMK bermula 2022.
Menyentuh mengenai ilmu bahasa Perancis yang ditimba, dia terdahulu telah mengambil masa setahun untuk mahir bahasa berkenaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
“Pada peringkat awal untuk mempelajari bahasa ini agak rumit kerana strukturnya yang kompleks.
“Tetapi, kemahuan dan kesungguhan untuk menguasai bahasa ini menjadikan proses pembelajarannya lebih mudah,” katanya.
Wanita berusia 50 tahun ini telah membangunkan program bahasa Perancis di UPM dengan penuh jaya.
“Menerusi program bahasa Perancis di UPM, saya sudah melahirkan hampir 800 penuntut mahir bahasa Perancis daripada 23 kumpulan kohort.
“Bahasa Perancis ialah bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ramai tidak mengetahui fakta ini,” katanya.
Jelasnya, boleh dikatakan bahasa Perancis mempunyai tahap prestij yang agak tinggi berbanding bahasa Eropah lain.
“Saya tidak memperkecilkan bahasa Eropah lain kerana setiap bahasa ada kekuatan dan keunikan tersendiri.
“Jika melihat daripada kaca mata dunia, bahasa Perancis dianggap berpestij agak tinggi kerana menjadi bahasa rasmi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta diangkat sebagai bahasa rasmi PBB,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini, dilantik menjadi dekan adalah perkara di luar jangkauannya yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.
“Namun begitu saya menghargai peluang diberikan dan berusaha memikul tanggungjawab besar ini sebaiknya.
“Sasaran peribadi sebagai dekan adalah mahu mengangkat ranking subjek fakulti ini ke tahap lebih tinggi.
“Saya juga mahu mengangkat keterlihatan fakulti ini ke mata dunia. Sekarang sudah ke arah itu, tetapi mahu ia lebih diperluas dan diperhebatkan,” katanya yang baru sahaja menerima Anugerah Bakti Putra di atas kecemerlangan perkhidmatannya selama 20 tahun di UPM baru-baru ini.
Tambahnya, dia juga terharu atas sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan kepadanya bagi menerajui fakulti.
Hazlina memberitahu, kejayaan itu turut disumbang pencapaian peribadi dan kecemerlangannya serta pasukan mengukuhkan program bahasa Perancis.
Jelasnya, program bahasa Perancis adalah salah satu program di bawah kluster bahasa moden yang berada di kedudukan 200 terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking terkini.
Ditebak mengenai cabaran tersendiri terutama memegang jawatan sebagai dekan dan ‘insan penting’ dalam fakulti, Hazlina berkata, bergelar ahli akademik dalam bidang kemanusiaan tidaklah banyak cabaran, tetapi tetap ada.
“Cabarannya adalah untuk kita mengangkat dan memperkasa bidang ini setaraf dengan bidang sains dan teknologi.
“Hal ini kerana bidang-bidang ini (bahasa) walaupun berbeza, amat penting dalam pembentukan modal insan yang holistik dan seimbang dari segi insaniah dan intelektualiti,” katanya.
Menyentuh mengenai pemerkasaan wanita, Hazlina berkata, wanita tidak seharusnya bersaing untuk menandingi lelaki kerana mereka dikurniakan kebijaksanaan dan kepandaian berbeza.
“Kelebihan diri mereka yang paling utama ialah keupayaan melaksanakan lebih daripada satu tugas dalam satu masa.
“Perkara ini (kelebihan diri) sudah diakui sejak zaman dahulu yang mana terbukti mereka cemerlang dalam pelbagai aspek.
“Wanita tidak perlu mencabar kehebatan lelaki, sebaliknya memberi fokus kekuatan diri dengan tidak memandang rendah kemampuan sendiri,” katanya menutup bicara.














