KOTA BHARU – Pemilik kenderaan yang tinggal di kawasan terjejas banjir dinasihatkan tidak terlalu berkira untuk membayar skim perlindungan peril khas atau perlindungan bencana alam sebagai langkah berjaga-jaga daripada berdepan kerugian besar semasa musim tengkujuh.
Ejen insurans, Amri Rahmah, 45, berkata, perlindungan peril khas memerlukan tambahan bayaran sebanyak RM80 hingga RM150 daripada harga insurans tahunan kereta bergantung kepada jenis kenderaan, jumlah diinsuranskan dan alamat pemilik kenderaan.
Menurutnya, dia akan menyemak terlebih dahulu lokasi atau alamat pemilik kenderaan menerusi sistem insurans sebelum menetapkan harga perlindungan peril khas bagi sesebuah kenderaan.
“Kebiasaannya, penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang yang ramai mengambil tambahan perlindungan insurans kenderaan mereka. Harga tambahan insurans mereka juga sedikit mahal kerana berada di lokasi yang sering berlaku bah.
“Pada saya, penduduk yang sering terjejas banjir tidak perlu berkira untuk mengambil tambahan perlindungan insurans kenderaan.
“Perlindungan itu meliputi kerosakan kenderaan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh, tanah mendap dan pokok tumbang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Amri memberitahu, selain daripada pelanggan di Kota Bharu dan Tumpat, dia juga menguruskan perlindungan peril khas klien dari beberapa lokasi di Lembah Klang terutamanya di Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, seorang lagi ejen insurans di Wakaf Bharu, Tumpat, Hamzul Ramli, 60, berkata, setakat ini tiada kliennya membuat tuntutan insurans perlindungan peril khas ekoran terjejas banjir.














