BANGI – Seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan membenarkan pernyataan palsu dibuat kepada Pendaftar Syarikat.
Tertuduh, Mohd Latip Ahmad, didakwa kerana membenarkan setiausaha syarikat memfailkan dokumen bertarikh 30 Oktober 2019 berkaitan ‘Notification of Alteration or Amendment to Constitution SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd’ yang mengandungi maklumat palsu.
Hakim Shahrul Rizal Majid mengenakan denda RM30,000 serta kos RM700 kepada tertuduh dan menetapkan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh melunaskan bayaran selepas prosiding selesai.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Faizal Mahdi Mahmud dan Amir Sharifuddin Hashim mengetuai pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nazmi Hanafi.
SSM dalam kenyataannya mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengemukakan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat.
“Sabitan seumpama ini merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.
“SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir disamping memastikan komuniti korporat peka berhubung tanggungjawab serta etika perniagaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.