TUMPAT – Polis Kelantan diarahkan untuk menilai kembali semua aset-aset bagi memastikan tahap persiapan tidak terjejas untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Kalantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegenai aset-aset PDRM yang terkesan oleh banjir di negeri ini.
“Sebenarnya kita telah memperuntukkan RM145 juta untuk membaiki pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara selepas saya melawat dan melihat sendiri keadaan pos-pos berkenaan di sepanjang Sungai Golok.
“Kita baru sahaja naik taraf pos-pos PGA di sepanjang Sungai Golok, tetapi sekarang semuanya telah ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa-mangsa banjir dalam kalangan warga PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, sehubungan itu, Mohd. Yusoff telah diarahkan untuk membuat penilaian kembali semua aset PDRM di Kelantan termasuk yang terjejas oleh banjir sebelum langkah susulan diambil.
Katanya, aset PDRM tidak boleh dikompromi dalam aspek persediaan terutamanya setelah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menjangkakan kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua bermula 8 hingga 14 Disember ini.
“Aset PDRM termasuk yang terjejas tidak boleh mengurangkan tahap kesiapsiagaan kita untuk gelombang kedua banjir.
“Jadi arahan awal kita kepada Ketua Polis Kelantan adalah buat penilaian awal semua aset PDRM di negeri ini sebelum kita ambil langkah seterusnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.