KUALA LUMPUR – Malaysia kini memberi tumpuan kepada pembangunan komponen pertahanan sebagai langkah strategik untuk menembusi rantaian bekalan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu lebih praktikal berbanding usaha menghasilkan aset pertahanan lengkap dalam tempoh terdekat.
“Kita mungkin tidak menghasilkan satu aset lengkap seperti kapal terbang atau sistem senjata sepenuhnya, tetapi kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa sudah ada syarikat Malaysia yang menghasilkan komponen untuk beberapa aset pertahanan.
“Malaysia juga mempunyai kekuatan dalam pembangunan perisian, litar bersepadu dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang menjadi komponen penting dalam produk pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian hari ini, menyeru pemain industri global untuk meneroka syarikat tempatan dalam industri pertahanan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, antara contoh sedia ada ialah pembabitan syarikat tempatan dalam industri aeroangkasa yang membekalkan komponen kepada pengeluar global.
“Pendekatan kita bermula dengan komponen sebelum bergerak lebih jauh dan ini adalah asas kepada usaha menjadikan Malaysia sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“Kita kini melihat semakin banyak syarikat tempatan tampil sebagai pengeluar sebenar, bukan sekadar ejen seperti sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, dasar mewajibkan sekurang kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan pertahanan meningkatkan keyakinan syarikat tempatan untuk mengetengahkan produk mereka.
“Apabila kita menetapkan keperluan komponen tempatan, syarikat lebih yakin bahawa produk mereka akan diambil kira dalam setiap perolehan.
“Kita kini mempunyai syarikat tempatan yang mampu menghasilkan peluru, komponen pertahanan selain mencadangkan pembangunan sistem tertentu termasuk artileri,” katanya.
Khaled menambah, perkembangan itu menunjukkan potensi Malaysia untuk menjadi pemain penting dalam rantaian bekalan global sektor pertahanan. – KOSMO! ONLINE














