PONTIAN – Sebanyak 20 buah rumah penduduk di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas di sini, telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir lagi pada bulan ini dan awal tahun depan.
Mereka seperti telah ‘lali’ dengan kejadian yang berlaku pada setiap tahun dan telah bersedia dengan segala persiapan yang perlu sebelum diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Seorang ibu tunggal. Zaleha Adam, 64, berkata, rumahnya merupakan rumah pertama yang akan dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh melebihi empat jam seperti sebelum ini.
Katanya, kedudukan rumahnya yang berhampiran dengan tali air serta berada di kawasan rendah, menjadi penanda aras kepada rumah-rumah penduduk lain di kampung tersebut.
“Biasanya rumah saya dahulu yang akan dinaiki air sehingga paras lutut dan akan diikuti oleh rumah-rumah yang lain selepas itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Jasa Sepakat di sini semalam.
Tambah Zaleha, disebabkan setiap tahun akan dilanda banjir, dia tiada membeli perabot atau peralatan elektrik kerana setiap kali rumahnya ditenggelami air, barangan tersebut akan rosak.
“Barangan yang lain, saya naikkan ke tempat tinggi seperti dokumen-dokumen penting keluarga termasuk pakaian baru, manakala yang lain cuba diselamatkan ketika waktu banjir” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Ramlah Zainal, 57, berkata, dia telah membina peralatan khas bagi meninggikan kedudukan peti sejuk, peti sejuk beku dan mesin basuh kerana rumahnya telah kerap kali dilanda banjir.
Katanya, dengan cara tersebut sahaja barangan tersebut dapat diselamatkan lebih awal, kerana ketika banjir tiada masa hendak menyelamatkan barang-barang dalam rumah.















