KUALA LUMPUR – Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bersetuju untuk mengambil langkah wajar meneliti semula cadangan menaikkan harga premium insurans perubatan tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, antara komitmen yang dipersetujui ialah melaksanakan pelarasan semula harga premium insurans perubatan secara berperingkat.
“ITO akan memastikan ada talian hotline khusus bagi setiap syarikat untuk menawarkan caruman fleksibel memberikan pilihan untuk pelan perkhidmatan berbeza dan menyediakan mekanisme penyelesaian yang lebih berkesan.
“Kerajaan peka mengenai kebimbangan penentuan semula harga insurans dan takaful perubatan serta kesihatan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful yang telah memberikan impak kepada pemegang polisi atau peserta takaful.
“Bank Negara Malaysia kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu langkah semasa diambil kerajaan bagi mengatasi isu inflasi kos perubatan sehingga ITO bertindak menaikkan kadar premium secara drastik.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi atau peserta yang sangat terkesan disebabkan peningkatan premium supaya mereka terus ada perlindungan insurans atau takaful. -KOSMO! ONLINE